Himpunan Hijau di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade itu dicemari apabila kira-kira 50 orang, termasuk pemimpin tempatan dari Pemuda Umno dan kumpulan pendesak Melayu, PERKASA mengganggu acara yang dijalankan itu.
Ketika acara itu dimulakan pada jam 6 petang, kumpulan itu mula menjerit kepada orang ramai yang berhimpun secara aman itu dan memberi amaran kepada mereka bahawa isu Lynas itu bukan "isu Pulau Pinang" dengan melaungkan slogan "Hidup Umno", "Kami mahukan kebebasan" dan "Balik Kuantan (Kembali ke Kuantan)".
Kira-kira 500 penyokong Himpunan Hijau kemudian membalas dengan laungan "Hidup Rakyat".
Selepas 15 minit berlalu keadaan semakin tegang, namun tidak ada kelibat polis dilaporkan memantau keadaan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tiba kira-kira jam 6:30 petang dan berucap kepada hadirin bahawa Pakatan Rakyat berpendirian tegas bahawa tidak akan menyokong kilang penapisan nadir bumi bernilai RM700 juta yang dibina di Gebeng, dekat Kuantan itu kerana bahaya pencemaran bahan radioaktif.
Beliau juga menggesa rakyat yang hadir supaya tidak diperbodohkan dan digertak oleh kumpulan yang berkumpul berhampiran.
Apabila mendengar nasihat Lim itu, kumpulan berkenaan terus mencaci Lim dan melemparkan kata-kata kesat ke atas setiausaha agung DAP itu. Para hadirin kemudian bertindak dengan mem-boo mereka.
Berikutan itu, Lim mula meninggalkan pentas dan menyertai orang ramai tetapi kumpulan itu mula mengasak para hadirin sehingga mengakibatkan berlakunya pertengkaran.
Menurut orang saksi, seorang wartawan dan seorang jurugambar sebuah akhbar berbahasa Cina cedera didakwa dipukul dengan topi keledar.
Mereka dikenal-pasti sebagai wartawan dan jurugambar akhbar Kwong Wah Jit Poh iaitu Andrew Chew, 29, dan Lee Hong Chun, 25, masing-masing cedera di bahagian badan dan kepala.
Mereka kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Pihak polis akhirnya tiba pada jam 7:15 malam dan menagarahkan orang ramai supaya bersurai.
Sementara itu, menurut laporan Benama, Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob berkata penganjur langsung tidak memaklumkan kepada polis mengenai acara itu sehingga berlaku kekecohan.
"Memang tidak memerlukan permit tetapi sepatutnya penganjur memaklumkan atau berunding dengan pihak polis berhubung perhimpunan berkenaan supaya polis dapat bersiap sedia atau menempatkan anggota di kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
"Bila berlaku kekecohan, baru penganjur maklumkannya dan mereka juga cuba menyalahkan polis kerana lambat bertindak," katanya.
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/