SharpShooter Followers


Friday, February 24, 2012

Tuntutan Cuepacs harus dipertimbang – Nurul Izzah

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mempertimbangkan tuntutan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai kenaikan gaji untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Pada sidang medianya di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini, beliau berkata, tuntutan Cuepacs itu releven memandangkan pada masa kini wujud ketidakseimbangan antara gaji penjawat awam bergred rendah dan tinggi.

“Menurut maklumat daripada laporan Rangkaian Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia mempunyai jurang gaji antara yang tertinggi dan yang terendah berbanding negara jiran, iaitu sekitar 19.5:1.

“Ini bermakna, jawatan paling tinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi daripada penjawat awam yang paling rendah, justeru saya menyeru agar jurang itu dirapatkan. Kita juga bersedia untuk bekerjasama agar perkara ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Selain itu Nurul Izzah turut menyarankan agar semakan gaji dapat dibuat setiap lima tahun sekali agar kenaikan yang selari dengan inflasi dapat dilaksanakan dengan adil.

Semalam, Cuepacs menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM), sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau berkata, tuntutan yang dikemukakan untuk Gred 1 hingga 16 ialah kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred 40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54 (RM2,500).



Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/