SharpShooter Followers

VIDEO CLIP PERTAMA JINGGA 13 YANG PALING POPULAR

Wednesday, March 24, 2010

Guan Eng dan Khalid bidas SPR


Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menolak hasrat mereka untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Mereka menyifatkan pendirian suruhanjaya itu sebagai menghalang proses demokrasi untuk memberikan peluang undi ketiga kepada rakyat.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan SPR menolak itu adalah satu bentuk halangan kepada demokrasi walaupun SPR membuat pendiriannya berdasarkan kekangan undang-undang.

“Ada baiknya jika SPR mula mempertimbangkan untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan di mana penduduk setempat boleh mengadakan hubungan baik dengan pihak berkuasa tempatan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider di bangunan Parlimen hari ini.

“Ini salah satu usaha untuk menjadikan amalan demokrasi negara ini lebih bersifat matang,” katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata barisan Exconya akan diberi taklimat tentang sebab SPR menolak rayuan kerajaan-kerajaan negeri PR.

Kedua-dua kerajaan negeri dimaklumkan keputusan SPR itu petang semalam.

Pagi tadi, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada “undang-undang yang membolehkan” pihaknya untuk mengembalikan undi ketiga menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.

Ia sekali gus menolak permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau menjelaskan pilihan raya kerajaan tempatan telah dimansuhkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Seksyen itu mengatakan bahawa “kesemua peruntukan dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan telah dimansuhkan ataupun tidak lagi berkuat kuasa.”

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, pemimpin kerajaan negeri PR yang pertama menulis kepada SPR memberitahu, beliau tidak terkejut dengan pendirian suruhanjaya itu.

Kata Lim keputusan itu memang dijangkakan selepas Perdana Menteri Najib Razak tidak memihak kepada seruan dikembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Kita tidak harus terkejut dengan keputusan ini,” katanya.

“Jika tauke telah memberikan pandangannya, maka siapa yang akan memberikan jawapan bertentangan? SPR harus bertindak bebas, ini menunjukkan SPR tidak bebas,” kata beliau pada sidang media di lobi bangunan Parlimen.

Lim berhujah bahawa di bawah Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan ada dinyatakan bahawa undang-undang persekutuan dan negeri memberi kuasa kepada SPR untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Katanya kerajaan negeri akan mengkaji kandungan surat penolakan suruhanjaya untuk tindakan masa depan tetapi tidak akan mengubah kedudukan mereka dalam perkara itu.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/