SharpShooter Followers

Tuesday, March 23, 2010

Nazri hina kaum Wanita



Wanita Pakatan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya ungkapan seksis yang dilaungkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat berlangsung semalam.

Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali berkata penggunaan ungkapan 'anak betina' yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Wanita Pakatan dalam sidang Dewan berkenaan dianggap sebagai satu penghinaan kepada kaum wanita.

"Perkataan 'anak jantan' menerangkan keberanian golongan lelaki tetapi apabila ungkapan 'anak betina' ditujukan pada kami adalah sangat tidak wajar.

Kami juga membantah kebiadaban beliau kerana penggunaan perkataan betina itu merujuk kepada binatang sedangkan tempat kami sebagai seorang wanita adalah terpuji dan perlu dihormati," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Merujuk kepada anutan seksisme, Dr Lo' Lo' berkata adalah berlawanan dengan Perlembagan Malaysia dan pengakuan negara dalam mendukung tuntutan untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW).

Ini kerana anutan seksisme membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih inferior atau lemah dari yang lain.

Ia juga bermaksud mendriskiminasikan gender dan tidak mempedulikan perihal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita.

"Seksisme dalam Parlimen sering berulang kerana tiada pengharaman terhadap pengujaran dan kelakuan seksis dalam peraturan mesyuarat. Namun apa yang berlaku, Ahli-ahli Parlimen yang seksis yang sepatutnya dihukum bebas lepas begitu sahaja," ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Wanita Pakatan menyeru seluruh wanita Malaysia supaya menyenaraihitamkan Ahli Parlimen yang seksis dengan tidak akan memilih calon-calon ini dalam pilihan raya akan datang.

Sementara Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamaruddin melahirkan rasa kecewa beliau bilamana selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan masih terdapat di kalangan Ahli Parlimen lelaki yang gagal memahami konsep seksisme.

"Saya betul-betul kecewa kerana sehingga kini Ahli Parlimen lelaki masih tak dapat memahami isu keserataan gender dan meletakkan kaum wanita di tempat yang sepatutnya dengan memainkan ungkapan berunsur seksis," katanya.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok pula menyarankan Speaker Dewan Rakyat untuk mengambil perhatian ke atas perlakuan sedemikian supaya tidak berulang pada masa akan datang.

"Speaker hendaklah bersikap tegas dengan menegur mana-mana Ahli Parlimen atau mengambil tindakan serius berhubung perkara ini."

Hadir sama dalam sidang media tersebut, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Chong Eng.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/