SharpShooter Followers

Tuesday, April 13, 2010

Nizar dan Guan Eng cabar MP Pasir Salak


Dua Ahli Parlimen dari PAS dan DAP hari ini mencabar Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang menuduh mereka menjual tanah kepada Singapura agar mengulangi dakwaan tersebut di luar Dewan agar tindakan undang-undang boleh diambil terhadap beliau.

Pada satu sidang media di perkarangan Parlimen, anggota Dewan Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menjelaskan Tajuddin boleh membuat dakwaan tersebut jika benar ada bukti kukuh mengenainya.

"Kami di sini seolah-olah dijadikan mangsa oleh Ahli Parlimen Pasir Salak sewaktu saya tiada di Dewan baru-baru ini, Pasir Salak menuduh saya telah terlibat dalam operasi menjual tanah di Perak kepada Singapura.

"Kita mencabar Pasir Salak buat dakwaan yang sama di luar Dewan supaya kita boleh mengambil tindakan dan tunjukkan kebenaran," kata Nizar.

Tajuddin dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa Pakatan Rakyat Perak yang diketuai Nizar sewaktu menjadi kerajaan negeri telah terlibat dalam operasi menjual tanah dan pasir kepada taukeh-taukeh Cina di Singapura.

Oleh kerana ketidakhadiran Nizar semasa sesi tersebut, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan juga Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming bangun menafikan dakwaan tersebut.

Nizar juga turut mencabar tuduhan kedua Tajuddin yang disifatkan suatu yang serius dan perlu kemukakan bukti.

"Saya juga dituduh bukan sahaja menjual tanah pasir kepada Singapura malah turut dituduh jual tanah kepada kaum Cina di Perak.

"Buktikan mana tanah yang saya jual kepada Singapura, mana dia tanah yang saya jual kepada taueh Cina. Sampai sekarang mereka tidak juga memberi bukti.

"Kami Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari PAS, DAP dan KEADILAN ingin menuntut keadilan supaya rakyat sedar kalau inilah mutu Ahli Parlimen kita yang membuat tuduhan tanpa bukti, saya rasa ini satu malapetaka kepada rakyat Malaysia," tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga dituduh menjual maklumat Malaysia kepada Singapura dan Hong Kong senada dengan Nizar mencabar Tajuddin membuat dakwaan sama di luar Dewan.

"Memanglah perkara palsu saya ke Singapura dan Hong Kong untuk jual maklumat negara. Saya ke sana atas urusan perniagaan sahaja. Samalah seperti Perdana Menteri ke Singapura dan Hong Kong ke negara tersebut untuk tujuan pelaburan.Jadi saya cabar beliau buat tuduhan di luar Dewan," kata Guan Eng.

Beliau juga menyelar tindakan Tajuddin yang menggunakan imuniti sebagai ahli Parlimen untuk membuat tuduhan sewenang-wenangnya.

"Jangan berselindung dalam Dewan, berselindung di atas kekebalan undang-undang yang dinikmati oleh Ahli Parlimen untuk membuat sebarang tuduhan," katanya.




* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat
(Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/