SharpShooter Followers


Monday, January 03, 2011

Mat Sabu bebas tuduhan

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu dan sembilan rakannya hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada pertuduhan menghalang tugas penjawat awam tiga tahun lepas

Majistret Mohd Izham Ali ketika menyampaikan keputusan itu berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tiga sebab utama.

Katanya tiga sebab itu ialah terdapat keraguan terhadap waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah, percanggahan keterangan dua saksi pendakwa iaitu saksi kesepuluh Supt Mohd Nasir Salleh dan saksi ke-11 Idris Rejap dan tiada keterangan spesifik mengenai tertuduh telah menolak penjawat awam.

Sembilan tertuduh yang lain ialah Mohd Binyamin Ishak, 48, Fuadzi Suharat, 48, Md Lazim Osman, 54, Abdul Razak Ramili, 46, Mohd Subri Mohd Said, 46, Zamarul ‘Aini Abdul Malik, 40, Zainul Azrun Zainal Abidin, 39, Abdul Rahim Mat Ariff, 62, dan Mohamad Salleh, 51.

Mereka dituduh enggan membuka pintu kenderaan dan telah menolak pegawai dan anggota polis dalam menjalankan tugas pada 7.45 malam, 9 Disember 2007 di hadapan Plaza Tol Plus Bukit Tambun (laluan keluar Lebuh Raya Utara-Selatan Kuala Lumpur-Pulau Pinang).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, dibantu oleh Khairul Fairuz Rahman dan Ahmad Razali Muhamad Nazri, manakala Mohamad dan sembilan rakannya diwakili oleh peguam Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Yusnita Yusof.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Mohamad melahirkan rasa gembira dengan keputusan itu dan menganggap ia satu kemenangan dalam menegakkan perjuangan.

“Terima kasih atas usaha peguam-peguam kami yang telah bertungkus-lumus mencari bukti dan berhujah membela kami untuk menang dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang hadir untuk memberikan sokongan kepada Mohamad dan rakan-rakan juga melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

Tahniah kepada barisan peguam yang telah berusaha memastikan kemenangan bermakna ini, katanya.

Turut hadir memberi sokongan ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Utiliti (Tenaga, Air, telekom), Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi) negeri Lim Hock Seng.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/