SharpShooter Followers

Sunday, January 09, 2011

Harimau Malaya cetus gelombang baru bolasepak Negara

Pasukan Malaysia dinobatkan sebagai juara Piala Suzuki AFF selepas menewaskan Indonesia secara agregat 4-2.

HAMPIR 14 tahun menunggu, akhirnya trofi terbaik Asia Tenggara dijulang megah di Malaysia. Sekalung tahniah kepada barisan pemain bola sepak negara kerana memenuhi harapan seluruh peminat bola sepak di Malaysia.

Gelombang kejayaan ini memberi nafas baru dunia bola sepak tempatan yang sebelum ini ketandusan kemenangan di peringkat tertinggi. Biarpun pasukan negara tewas 1-2 pada perlawaan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno Rabu lalu, namun dengan kelebihan tiga gol ketika aksi pertama sebelum ini telah melayakkan skuad kendalian K.Rajagobal ini menang secara aggregat 4-2.

Dengan kejayaan ini juga, Malaysia turut merekodkan sejarah bola sepak Asia Tenggara dengan menjadi pasukan keempat merangkul juara selepas Thailand, Singapura dan Vietnam. Kejayaan ini juga merupakan kejayaan pertama pasukan kebangsaan semenjak kejohanan itu diadakan.

Semangat membara

Biarpun pelbagai isu timbul sebelum perlawanan kedua ini termasuk pancaran laser, stadium dirosakkan, namun barisan negara telah memberi fokus terbaik dan tetap mengekalkan rentak konsisten sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Hakikatnya, perjalanan untuk menjulang trofi ini bukanlah mudah kerana laluan agak berliku ketika saingan peringkat kumpulan awal bulan ini,

Sebelum ini skuad kendalian K. Rajagobal ini tewas 1-5 kepada Indonesia, seri dengan Thailand 0-0 dan menang ke atas Laos 5-1 dengan mengumpul empat mata.

Selepas itu cabaran semakin sukar apabila berhadapan dengan juara bertahan 2008, Vietnam.

Namun tuah memihak kepada Malaysia apabila menang secara agregat 2-0 selepas Mohd Safee Mohd Sali menjaringkan dua gol kemenangan pada saingan separuh akhir pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, manakala pusingan kedua yang berlangsung di Hanoi, Vietnam, kedua-dua pasukan terikat 0-0 sekali gus skuad negara layak ke perlawanan akhir.

Rekod ke akhir

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir ialah pada tahun pertama kejohanan ini bermula, 1996 (sebelum ini dikenali sebagai Piala Tiger), namun tewas kepada Thailand 0-1. Sejak itu pasukan negara gagal mara ke perlawanan akhir dan hanya berada di tangga ketiga (tahun 2000 dan 2004).

Di sebalik kejayaan cemerlang sekali gus menjadi penutup kejayaan bagi tahun 2010, pengalaman jurulatih dalam mengharungi detik ini memainkan peranan penting ketika membuat percaturan setiap perlawanan. Sehingga kini Rajagobal telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang selepas turut membawa pasukan Malaysia meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos.

Pujian seharusnya diberikan kepadanya kerana telah membawa sukan bola sepak tanah air kembali menjadian perhatian utama.

Jika sebelum ini dia turut dikritik kerana turun naik pasukan negara, sikap tenang dan tidak mudah melatah antara faktor kejayaan skuad kendaliannya itu.

Sebelum kejohanan ini bermula, Rajagobal berkata bahawa pertandingan kali ini agak sengit kerana berada dalam kumpulan maut bersama Indonesia, Thailand dan Laos. Dia tidak menjanjikan sebarang kejayaan, namun yakin anak-anak buahnya akan mempamerkan permainan yang terbaik kerana rata-rata pemainnya masih baru.

Kata-kata itu dikotakan oleh para pemain walaupun sebelum itu dia turut pening kepala dalam menyusun barisan pemain kerana beberapa pemain senior mengalami kecederaan dan tidak boleh beraksi sehingga menyebabkan pasukan mengalami kekalahan besar 1-5 kepada Indonesia di peringkat kumpulan.

Jurulatih kelahiran Selangor ini berkata, walaupun kalah pada awal perlawanan, namun dengan tekad dan semangat yang dipamerkan anak buahnya sehingga Piala Suzuki AFF 2010 menjadi milik Malaysia sekali gus memadamkan terus angan-angan Indonesia.

Penyerang Malaysia, Mohd Safee Mohd Sali dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga (MPV) selepas menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan Piala Suzuki AFF 2010.

“Selepas mengalahkan juara bertahan Vietnam, saya menyerahkan segalanya kepada pemain-pemain. Saya memberitahu mereka, sekiranya ingin menjadi juara mereka perlu menang. Dan itulah yang dibuat oleh barisan pemain-pemain yang majoritinya pemain muda.

“Saya puji para pemain, mereka memang berhak menjadi juara setelah menunjukkan permainan komited dan berdisiplin,” katanya selepas perlawanan akhir baru-baru ini.

Paling penting kejayaan ini juga bakal membuka era baru dalam sukan bola sepak tanah air, malah turut mengembalikan kepercayaan peminat-peminat bola sepak tempatan.

Secara langsung, kejayaan ini juga dijangka akan turut menarik kembali penyokong-penyokong bola sepak untuk memberi sokongan kepada perlawanan liga bola tempatan yang bakal bermula 15 Januari ini.

Antara pemain-pemain yang bakal menjadi perhatian termasuk Mohd Safee Mohd Sali yang beraksi dengan pasukan Selangor bakal menjadi lebih popular selepas menerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MPV) dengan lima gol, Norshahrul Adlan Talaha (Kelantan) yang digelar ‘arkitek’ pasukan kerana banyak mencipta gerakan cantik untuk rakan sepasukan sehingga mampu mencipta jaringan, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) penjaga gol yang menjadi perhatian ketika menjaga gawang, kapten pasukan, Shafiq Rahim (Selangor) dan beberapa orang lagi.

Peminat kembali sokong Harimau Malaya

Siapa kata bola sepak Malaysia tiada peminat. Perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad lalu telah membuktikan bahawa pasukan Harimau Malaya sebenar mendapat sokongan penuh para penyokong tempatan.

Hampir 75,000 penonton memenuhi stadium dengan warna hitam kuning, warna kebangsaan jersi Malaysia selain dengan kibaran bendera Jalur Gemilang yang memenuhi setiap ruang di stadium itu.


Ribuan penyokong bola sepak Malaysia menyambut pasukan bola sepak negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

Sambutan yang luar biasa ini juga turut dilihat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) apabila hampir 3,000 orang penyokong bola sepak negara berkumpul di situ menyambut kepulangan wira bola sepak negara ini, Khamis lalu.

Kejayaan bermakna

Setiausaha Agung Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kejayaan ini amat bermakna kepada semua rakyat Malaysia terutama sekali penyokong-penyokong setia Harimau Malaya.

“Kejayaan ini merupakan penutup tirai tahun 2010. Pada tahun 2009, kita juga menjadi penutup dengan membawa balik emas pada Sukan SEA. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pegawai,pemain, barisan jurutih kerana kejayaan ini.

“Kita perlu sedar setiap kejayaan tidak datang dengan mudah, lebih-lebih lagi bola sepak kerana ia memerlukan masa untuk berada di landasan yang sebenar.

“Apa yang lebih menarik, kejayaan ini merupakan kejayaan anak-anak tempatan kerana tanpa pemain import, jurulatih import kita mampu menjadi terbaik dan digeruni di Asia Tenggara selepas dikritik dan diejek kerana tidak mencapai sebarang kejayaan sebelum ini,” katanya

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/