SharpShooter Followers

Tuesday, January 11, 2011

Beranikah rosmah najib terima cabaran debat?



Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar berdebat secara terbuka berhubung Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang menurut Putrajaya akan memufliskan negara.

Ketua pembangkang itu berkata, program 100 Hari Pakatan Rakyat itu hanya memerlukan perbelanjaan sebanyak RM19 bilion setahun berbanding RM51 bilion yang ‘dirampas’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu kroninya.

“Biar rakyat buat keputusan berdasarkan fakta, Perdana Menteri cabar kita dan tuduh kita,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

“Beliau (Najib) yang beri ulasan terbuka ini adalah pendekatan yang tidak bertanggungjawab,” kata Anwar yang mengulangi agar Najib tampil secara berani sebagai ketua kerajaan untuk mempertahankan hujahnya dan “beri ruang kepada kita untuk pertahankan hujah kita.”

Semalam Najib membidas pelan 100 hari yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat yang disifatkannya sebagai populis dan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata selepas dikaji pelan itu, ia sebenarnya tidak berpaksi kepada kenyataan kerana tidak ada pembentangan dari segi punca kewangannya.

“Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu populis sehingga menggadaikan masa depan negara. Kita tidak boleh begitu, tidak bertanggungjawab sama sekali sehingga anak dan cucu kita merana nanti.

“Malah, tak perlu tunggu anak dan cucu, dalam masa dua tahun sahaja, mengikut perkiraan kita, jika janji itu dilaksanakan tanpa mengambil kira kemampuan negara,” kata Najib semalam.

Pada 19 Disember lalu, Pakatan Rakyat (PR) menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari “kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan 10 program”, antaranya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Lain-lain inisitif ialah:

— Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat

— Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang

— Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan

— Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa Bandar

— Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda

— Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20 peratus

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah

Dalam ulasannya hari ini, Anwar berkata adalah wajar bagi Najib menerima pelawaan berdebat kerana Najib sentiasa mempersoal dan memperlekehkan dasar Pakatan Rakyat serta perangkaan ekonomi yang dikemukakan dalam rancangan 100 hari transformasi Pakatan Rakyat.

“Memandang isu ini terdesak dan menyentuh kepentingan rakyat dan negara kami syorkan diadakan debat terbuka.

“Kalah ikut bahasa lunak kita undang beliau sebab beliau yang cabar dan pertikaikan kenyataan kita untuk bincang secara terbuka,” kata beliau sambil menambah, "sebagai tokoh negara, sewajarnya beliau terima.”

Beliau berkata, program yang akan dilaksanakan Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PAS dan DAP itu membantu menyelamatkan negara daripada muflis.

Tambah Anwar, kenyataan Najib kononnya program 100 Hari Pakatan Rakyat tidak dapat dilaksanakan atas alasan tidak berkemampuan adalah tidak tepat dan cuba berselindung di sebalik penguasaan media.

“Tindakan yang mudah ini akan memulangkan RM51 bilion kepada rakyat, ia lebih dari cukup untuk melaksanakan janji 100 Hari Pakatan Rakyat yang jumlahnya hanya satu pertiga dari jumlah diselamatkan.

“Maka alasan Perdana Menteri menolak Janji 100 Hari Pakatan Rakyat perlu dikaji semula, Malaysia sememangnya sedang menuju ke gerbang kemuflisan jika Umno-BN terus berhutang,” kata beliau.

Kata Anwar, Malaysia akan muflis akibat ketagihan Umno-BN kepada pembaziran dan rasuah yang berleluasa, demi mempertahankan sistem kroni kapitalisme yang didukung Umno-BN.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, dana yang diperlukan untuk melaksanakan Janji 100 Pakatan Rakyat hanyalah RM19 bilion setahun.

“Jumlah ini adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun akibat keterisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang.

“Oleh itu Perdana Menteri tidak boleh berdolak dalih lagi kenapa Umno-BN tidak mahu melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat apabila rakyat tahu ia mampu dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga menegaskan tindakan pertama Pakatan Rakyat melalui program 100 hari ini adalah melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah di semua peringkat.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/