SharpShooter Followers

Tuesday, January 04, 2011

YB Ong berjaya selesaikan masalah rakyat


BUKIT TENGAH– Lebih 100 penduduk Kampung Tok Panjang, di sini, mengadakan protes secara aman menuntut hak mereka dalam penggunaan jalan keluar masuk dari kampung ke jalan utama.

Ketidakpuasan hati timbul apabila jalan yang telah digunakan sejak lebih 150 tahun itu akan dijadikan jalan sehala yang didakwa berpunca selepas wujudnya sebuah restoran berhampiran jalan tersebut.

Seorang penduduk, M. Manimaran, 39, berkata, penduduk sering menghadapi masalah sejak restoran berkenaan beroperasi kira-kira lima tahun lalu.

Menurutnya, sikap pelanggan restoran yang memakir kenderaan sesuka hati di tepi jalan menyebabkan penduduk sukar untuk keluar masuk dari kampung ke jalan utama.

“Semenjak restoran ini beroperasi, banyak perkara buruk telah berlaku, terutama aliran trafik. Kebiasaannya, masalah akan timbul pada waktu puncak iaitu 7 petang ketika ramai pelanggan berpusu-pusu untuk makan di restoran berkenaan.

“Ia menyebabkan kesesakan teruk di sini kerana mereka memakir kenderaan di merata tempat hingga pernah berlaku kemalangan kecil di sini antara penduduk dan juga pelanggan restoran,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Khairul Ishak, 30, mendakwa perkara berkenaan telah pun dipanjangkan kepada MPSP kira-kira dua minggu lalu, namun, sehingga kini masih tiada sebarang respon diterima.
Dia berkata, MPSP dilihat mengamalkan ‘double-standard’ dengan membiarkan pengusaha restoran melakukan sesuka hati mereka dan menolak kepentingan penduduk.

“Sebenarnya, jalan ini telah cuba dijadikan sebagai jalan sehala sejak setahun lalu, namun gagal setelah desakan demi desakan dibuat penduduk. Akan tetapi, sejak dua bulan kebelakangan ini, ia muncul semula.

“Ada pihak yang bertindak berani membuat garisan di jalan ini dan meletakkan anak panah besar menunjukkan jalan ini sebagai jalan sehala. Kami percaya garisan ini dibuat pada waktu kerana tiba-tiba sahaja sudah ada garisan jalan sehala di laluan ini,” katanya.

Dalam pada itu, pada perkembangan sama, Khairul turut mempersoalkan tentang status tapak letak kereta yang dibina di bawah jambatan yang didakwa untuk kegunaan pelanggan, namun tidak diketahui siapa yang meluluskan permohonan tersebut.

Begitupun, dia berkata, pelanggan restoran berkenaan dilihat tidak memakir kenderaan mereka di bawah jambatan itu, sebaliknya memakir di bahu jalan.

Katanya, keadaan tersebut dikhuatiri akan menimbulkan perbalahan yang lebih teruk, malah dibimbangi akan mengancam keselamatan penduduk kerana beberapa kemalangan kecil pernah berlaku di sana.

“Di sini, kami ingin mengetahui apakah hak kami sebagai penduduk kampung yang telah menggunakan jalan ini sejak 150 tahun lalu, sedangkan restoran ini hanya baru beroperasi lima tahun lalu

“Kami mahu ADUN memberikan penjelasan berhubung keputusan MPSP yang mahu menjadikan laluan ini sebagai jalan sehala,” katanya.

“Kami mahu MPSP siasat perkara ini dan beri penjelasan kepada kami, kenapa perkara ini berlaku sedangkan MPSP tidak pernah beri makluman kepada kami sebagai penduduk berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu, ADUN, Ong Chin Wen yang berada di lokasi memberitahu bahawa keputusan untuk menjadikan jalan tersebut sebagai jalan sehala telah diputuskan oleh jawatankuasa kecil MPSP dan ia di luar bidang kuasa beliau.

Bagaimanapun, beliau berjanji akan membawa pendirian penduduk itu untuk perhatian majlis dan akan bertemu semula dengan mereka selepas keputusan dicapai.

“Saya sedia maklum mengenai isu ini, dan sebagai wakil rakyat saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu penduduk demi kebaikan bersama.

Saya akan membawa isu ini kepada majlis dan akan memberikan jawapannya dalam masa terdekat ini,” katanya.

Begitupun, mengenai persoalan penduduk samada pendirian mereka akan diambil kira sebelum Jawatankuasa kecil MPSP membuat keputusan, beliau memberitahu akan mendapatkan maklumat lengkap mengenainya secepat mungkin dan akan memberikan jawapannya selewat-lewatnya hari ini.

Keesokkannya Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkata mereka menangguh sementara untuk menjadikan jalan keluar masuk Kampung Tok Panjang, dekat sini, sebagai jalan sehala selepas ia mendapat bantahan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen berkata, keputusan itu dicapai selepas beliau mengadakan perjumpaan bersama Pengarah Bahagian Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), 28 Disember 2010 lalu.

Menurutnya, agenda mengenainya akan dimasukkan ke dalam mesyuarat bulanan MPSP selewat-lewatnya penghujung bulan ini, sebelum sebarang keputusan rasmi dicapai.

“Sebenarnya, jalan sehala ini pernah dilaksanakan sekitar tahun 2006 atau 2007 lalu, tetapi, dihentikan selepas penduduk membuat bantahan. Malah, ketika itu, bukan penduduk kampung sahaja yang terlibat, tetapi, juga penduduk Taman Kerjasama.

“Selain itu, pemilik restoran yang didakwa menjadi punca jalan tersebut dijadikan jalan sehala juga tidak benar kerana beliau sendiri ada berjumpa dengan saya dan menghalang jalan ini dijadikan jalan sehala.

“Saya berharap isu ini tidak akan timbul lagi dan berharap penduduk dapat menerima apa jua keputusan yang diberikan nanti. Sebagai ADUN, saya telah melaksanakan tugas untuk membantu penduduk sebaik mungkin, namun, keputusan di tangan MPSP kerana ia di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

YB Ong Chin Wen dalam pada itu berkata, segala papan tanda dan juga garisan sehala yang dibuat di jalan menuju ke kampung tersebut akan dihitamkan semula dan penduduk boleh menggunakan jalan tersebut sebagai jalan dua hala seperti biasa selagi keputusan mengenainya belum diperoleh. Justeru, beliau berharap agar penduduk dapat bersabar dan tidak lagi mengadakan bantahan, kerana setiap apa yang dilakukan adalah demi kebaikan bersama.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/