SharpShooter Followers

Thursday, January 06, 2011

Ribut dalam cawan Pakatan Rakyat

Pertemuan pemimpin-pemimpin kanan PAS dengan presiden dan timbalan presiden Umno mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakan mereka dalam Keadilan dan DAP yang turut mahukan penjelasan rasm parti Islam itu.

“Sebagai ahli Parlimen dan sebahagian daripada Pakatan, saya merasakan bahawa mereka harus berunding dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Keadilan dan juga DAP.

“Mengapa mereka (PAS) harus pergi (hadir pertemuan itu)? Bagi Keadilan, secara jujur kami tiada petunjuk mengenai perkara ini, dan saya tidak fikir pemimpin-pemimpin kanan parti juga tahu mengenainya jika tidak dilaporkan oleh media,” kata Ahli Parlimen Keadilan dari Kapar S. Manikavasagam

Manikavasagam berkata, PAS juga perlu “menghormati” anggota komponen Pakatan Rakyat dan tindakan pemimpin-pemimpin parti Islam itu boleh menjejaskan perikatan pembangkang itu dalam pilihan raya umum tergempar yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.

“Ini adalah tahun kritikal bagi Pakatan... kita tidak mahu kejadian-kejadian menikam dari belakang atau mengumpat, kita perlu bersama dalam hal ini.

“Sesetengah ahli Parlimen Pakatan macam saya adalah orang kecil, jadi kami tidak tahu apa yang perlu di peringkat atasan... tetapi pemimpin-pemimpin atasan juga tidak tahu. PAS perlu menghormati anggota-anggota lain dalam Pakatan,” kata bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan ini.

Justeru kata beliau, PAS perlu mendedahkan butiran hasil perbincangan itu.

“Bagi tahu kami. Apakah kami bukan anggota yang sama taraf (dalam Pakatan)? Orang ramai, penyokong kami juga ingin tahu... jika ia pertemuan antara pemimpin-pemimpin kanan BN dan Pakatan, kesemua wakil ketiga-tiga parti (dalam Pakatan) harus pergi (hadir sama),” kata Manikavasagam.

Dalam laporan terbaru semalam, The Malaysian Insider melaporkan, pemimpin-pemimpin Umno dan PAS terpaksa mengakhiri perundingan ‘perpaduan Melayu’ di Istana Terengganu pada 24 Disember lalu selepas pertemuan mereka mula menyentuh isu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam.

The Malaysian Insider difahamkan seorang pemimpin Umno pada pertemuan itu bercakap mengenai keperluan perpaduan orang Melayu atas alasan bukan Melayu mengambil kesempatan dengan perpecahan di kalangan orang Melayu dengan membuat pelbagai permintaan termasuk menuntut penggunaan kalimah “Allah” — merujuk kepada langkah Gereja Katolik yang mahu menggunakan perkataan itu dalam akhbar versi Bahasa Malaysia mereka.

Bagaimanapun difahamkan bahawa pada peringkat itu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membantah dengan menyebut bahawa ayahanda Nabi Muhammad s.a.w., Abdullah juga pernah menggunakan kalimah “Allah” walaupun dia merupakan bukan Islam.

“Kemudian perbincangan mereka berakhir apabila Agong meminta diri dan Nik Aziz juga meminta diri (keluar daripada perbincangan), dengan mengatakan sakit belakang,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin, Nik Aziz enggan mengumumkan butiran perkara yang disentuh dalam pertemuan tersebut dengan berkata, beliau menghadiri pertemuan di Istana Terengganu di sini atas undangan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiada kaitan dengan isu politik.

Kata beliau, pemergiannya itu adalah bagi menjunjung perintah Seri Paduka Baginda yang menyampaikan titahnya melalui Abdullah ketika bekas Perdana Menteri itu melawatnya ketika beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini bulan lepas.

“Saya menghadap baginda bersama beberapa pemimpin termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur atas dasar menghormati dan menjunjung titah perintah Tuanku,” katanya.

Nik Aziz membuat penjelasan itu pada sidang akhbar yang turut dihadiri Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Hadi pula berkata walaupun majlis itu turut dihadiri pemimpin lain termasuk Najib tetapi mereka tidak membincangkan langsung soal-soal politik.

“Tidak ada perjumpaan lain, selain majlis santapan malam itu,” katanya.

Begitu juga pendirian Ketua Pemuda DAP Anthony Loke yang mahu PAS menjelaskan “perundingan perpaduan Melayu.”

“Satu kenyataan daripada PAS untuk menjelaskan isu ini adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan,” kata wakil rakyat ini.

“Biar PAS keluarkan kenyataan rasmi untuk mengulangi kedudukan dan komitmen mereka kepada Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Bagaimanapun Loke yakin PAS akan kekal setia dalam Pakatan Rakyat.

“Ramai pemimpin dalam PAS terkenal sebagai penyokong kuat Pakatan seperti Mat Sabu, Nik Aziz, (Datuk) Husam (Musa) and Salahuddin Ayub. Malam tadi, dalam satu ceramah, Mat Sabu secara terbuka mengulangi bahawa beliau akan memastikan PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat,” kata beliau yang nama sebenarnya Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu dan Husam merupakan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat manakala Salahuddin pula salah seorang daripada tiga naib presiden.

Bagaimanpun Naib Presiden Keadilan Chua Tian Chang menyifatkan pertemuan Umno dan PAS itu sebagai perkembangan biasa.

“Saya tidak melihat ia sebagai satu perkara besar,” kata beliau sambil menambah, sebagai pembangkang, jika seseorang menjemput kami, mengapa pula tidak mengadakan pertemuan dengan mereka.

“Saya merasakan bahawa persoalan yang perlu ditanya ialah mengapa Najib mahu bertemu dengan PAS?” kata Chua kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Batu ini berkata, adalah sesuatu yang normal bagi pemimpin-pemimpin Pakatan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari BN secara “sulit” untuk membincangkan perkara-perkara tertentu.

“Ada juga mereka dari Pakatan Rakyat yang bertemu dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein diam-diam berhubung isu Suara Keadilan. Saya tidak melihat pertemuan ini satu petanda bahawa PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua yakin PAS akan kekal dalam perikatan pembangkang itu.

“Ia dilaporkan sebagai perundingan perpaduan. Tidak pula dilaporkan PAS berminat dengannya,” kata Pua lagi.

Ahli Parlimen ini menambah, undangan Umno kepada PAS itu menunjukkan parti pemerintah kerajaan pusat itu dan juga teras dalam BN tidak ikhlas dalam mengamalkan konsep 1 Malaysia.

“Ini dengan jelas menunjukkan bahawa Umno tidak jujur dengan slogan 1 Malaysia atau matlamat mereka hanya tentang soal perpaduan Melayu Islam dan bukannya perpaduan rakyat Malaysia,” kata Pua.

Penasihat DAP Lim Kit Siang enggan mengulas sehingga PAS mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai apa yang dibincangkan dalam pertemuan 24 Disember itu.

“Sebelum saya komen, kita tunggu dulu satu laporan daripada PAS apa sebenarnya pertemuan itu terlebih dahulu,” kata Lim yang juga wakil rakyat kawasan Parlimen Ipoh Timur.

Sharpshooter - Semoga ribut dalam cawan ini berakhir dengan tenang di Tenang, Johor.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/