SharpShooter Followers

Monday, January 31, 2011

Mengapa tenang menjadi tsunami di Tunisia dan Mesir

Kebangkitan rakyat adalah seperti satu tsunami yang tidak dapat dihalang.

Kebangkitan rakyat adalah menzahirkan jeritan batin akibat "dijajah" di negara sendiri yang sudah melepasi faktor ketakutan kepada kerajaan yang memerintah dengan penggunaan jentera propaganda dan jentera keselamatan berbekalkan gas pemedih mata, meriam air berkimia, peluru getah atau pukulan belantan yang hanya berfungsi untuk menyelamatkan atau mempertahankan kepentingan golongan pemerintah, bukannya rakyat.

Politik ketakutan bertukar menjadi politik harapan untuk demokrasi sebenar dan bukan demokrasi palsu yang menyekat serta memenjara aspirasi dan hak rakyat untuk hidup didalam kemerdekaan.

Oleh itu, mengapa rakyat Tunisia dan Mesir yang Tenang dahulu bangkit?

Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya kepimpinan Negara tidak korup, tidak zalim serta tidak "membunuh" jiwa dan raga satu atau beratus atau beribu insan biasa di jalanan , di penjara atau di kawasan terpencil?

Mungkinkah kebangkitan ini tidak berlaku sekiranya kekayaan Negara diagih secara adil dan bukan dicuri untuk keluarga dan kroni melalui projek mewah, pembelian harta kerajaan berharga tinggi, monopoli perniagaan, komisyen besar tanpa melibatkan keringat sebaliknya menerusi penswastaan harta rakyat yang merugikan? Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya wanita pertama menjadi "ibu" kepada semua dan bukan menganak-tirikan serta melarikan jongkongan emas milik rakyat?

Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku sekiranya khazanah Negara mereka digunakan untuk meringankan beban hidup akibat kos yang meningkat dengan tidak memotong subsidi rakyat sedangkan subsidi peniagaan kroni diteruskan?

Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya golongan elit hidup mewah diluar kemampuan dengan rumah ibarat istana, kenderaan ibarat pendati emas dan perbelanjaan melampau ibarat menghidupkan syurga di dunia yang disaksikan rakyat yang semakin hari dimiskinkan?

Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku sekiranya hak bersuara termasuk kebebasan media sebagai pengimbang kuasa dan saluran suara demokrasi rakyat tidak disekat?

Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya pemimpin Negara bersedia mendengar keluhan rakyat dan berdebat secara terbuka untuk mencari cara terbaik membangunkan ekonomi Negara untuk kesejahteraan rakyat?

Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya pengisytiharan darurat seperti yang wujud di Mesir selama 30 tahun telah dimansuhkan?

Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku sekiranya proses pilihanraya tidak dimanipulasikan secara terang-terangan untuk demokrasi palsu melalui penipuan dan sogokan? Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya Negara kuasa besar ikhlas menggunakan piawaian demokrasi sebenar untuk menilai Negara-negara ini tanpa memberikan subsidi ketenteraan yang sebenarnya digunakan untuk "memerangi" rakyat dan bukan untuk kegunaan pertahanan ancaman luar?

Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku sekiranya Demokrasi mereka dipulihkan?

Rakyat Tunisia dan Mesir sudah tidak takut lagi.

Memang benar kata-kata Thomas Jefferson; bila rakyat takut kepada kerajaan, itu adalah penindasan tetapi sebaliknya apabila kerajaan takut (hormat) rakyat, itu adalah kemerdekaan!

Marilah kita memikirkan apa yang dapat dipelajari daripada peristiwa yang sedang berlaku di Tunisia dan Mesir sebagai pembuka mata dan pembuka hati agar kebangkitan rakyat ini menjadi teladan dan sempadan untuk kita segerakan pemulihan demokrasi Negara dengan tenang dan penuh bijaksana.

Semoga Tunisia dan Mesir kembali Tenang dengan kuasa rakyat dan demokrasi sebenar.




* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/