SharpShooter Followers

Saturday, March 06, 2010

Barisan Muda Baru AMK Keadilan

Barisan wakil rakyat muda daripada KEADILAN menegaskan tindakan beberapa Ahli Parlimen yang membelot terhadap parti dan Pakatan Rakyat dianggap musuh kepada masa depan negara serta harapan dan mandat yang diamanahkan rakyat.

Malah segala tindakan mereka itu bukan berpunca daripada dasar parti yang tidak adil tetapi ekoran masalah peribadi yang tidak menjurus kepada tanggungjawab kepada rakyat.

Wakil rakyat muda KEADILAN dalam satu sidang media yang diadakan di Petaling Jaya semalam menganggap pemimpin yang belot itu boleh dikategorikan sebagai "biawak hidup'.

“Tindakan mereka tidak mempedulikan amanah yang diberikan rakyat dan mereka sebenarnya telah memusuhi masa depan negara dan rakyat. Mereka telah mengkhianati harapan rakyat di Malaysia yang memilih atas dasar perubahan dua tahun lalu,” tegas Ahli Dewan Undangan Batu Caves Amirudin Shari selaku jurucakap bagi kumpulan wakil rakyat muda KEADILAN itu.

Menurut Amirudin lagi beliau yakin rakyat sedang menilai segala tindak tanduk pemimpin yang belot itu.

“Mereka mengisytiharkan diri mereka bebas, sedangkan rakyat melihat mereka sedang bergantung dengan corak rasuah dan pendekatan kuno masa lalu.”

“Dengan memilih tindakan jahat ini, bekas pemimpin KEADILAN yang bertindak keluar parti ini memilih untuk terus memandang ke belakang,” jelasnya semalam.

Beliau berkata pemimpin muda KEADILAN menegaskan dan berikrar tidak meninggalkan parti serta tidak akan mengkhianati muafakat Pakatan Rakyat.

"Kami berikrar akan kekal berjuang biarpun berdepan dengan cabaran, pujukan dan penindasan yang ada. Kami tidak akan berpatah balik. Kami mahukan perubahan untuk Malaysia, kami mahu berkhidmat kepada rakyat.

"Kami akan memenuhi kepercayaan yang diberikan rakyat. Kami tahu bahawa agenda KEADILAN yang inklusif dan tidak bersifat perkauman adalah ruang terbaik untuk kami meneruskan agenda membawa negara ke hadapan. Selama ini semua anggota parti mempunyai ruang memberi pandangan terhadap agenda yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat yang telah disepakati dengan semangat musyawarah," katanya.

Sebagai wakil rakyat muda beliau bersama-sama 11 wakil rakyat lain untuk menerima nasihat, saranan dan kritikan daripada rakyat asalkan agenda selamatkan tanah air dari kepincangan kerajaan Umno-Barisan Nasional boleh direalisasikan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Turut hadir pada sidang media itu termasuk Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Amran Ghani (Ahli Parlimen Tanah Merah), S. Manikumar (ADUN Bukit Selambau merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah), Gan Pei Nei (ADUN Rawang), Yunus Jamhari (ADUN Kuala Kurau), Chang Lih Kang (ADUN Teja), Chan Ming Kai (ADUN Simpang Pulai), Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak), S. Kesavan (ADUN Hutang Melintang) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN Seri Setia) serta Yusmadi Yusof (Ahli Parlimen Balik Pulau).

* Chai Amir Selamat*

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/