SharpShooter Followers

Friday, March 05, 2010

Jawapan buat warkah untuk Anwar nukilan Zukri Aksah

Assalamualaikum sdr Amizudin.

Berikut adalah tulisan saya untuk menjawab nukilan sdr Zukri Akshah. Saya cuba post kan komen ini tetapi telalu panjang untuk diterima. So saya emailkan terus pada saudara. Jika ada kesudian dan jika ia tidak melanggari syarat saya serahkan komen saya pada saudara untuk tindakan lanjut. Tiada paksaan untuk diterbitkan, tetapi di penghujung komen ini saya ada minta saudara panjangkan kepada pejuang keadilan sdr Anwar. Ini pon jika tiada keberatan.

Sekian terima kasih

komen saya: Salam buat saudara zukri

Cerita yang dilalui oleh saudara memang dilalui oleh ramai lagi pencinta keadilan dan keamanan. Hanya mungkin nasib saudara lebih baik kerana mampu memanjat sehingga kejawatan yang tinggi dalam PKR. Seperti juga saudara, saya juga pernah mendaftar menjadi ahli PKN, status sekarang… wallahualam.

Saat getir yang dilalui 1998 mampu membakar jiwa remaja malah mereka yang veteran juga. Mandian air wangi dan menyegarkan dari water canon sudah seperti mandian di bawar shower di rumah. Gas penyegar mata sudah sebati ibarat menitiskan eye-mo ke mata masing-masing. Begitulah bersemangatnya para reformis yang ingin memperjuangkan kebebasan saudara Anwar.

Dari bermulanya gerakan ADIL (aku masih lagi menyimpan TAG BIRU itu) sehinggalah gerakan REFORMASI dan kemunculan sebuah parti sebagai wadah perjuangan, saya yakin orang-orang yang sama yang tampak selekeh, tidak berketerampilan, tidak nampak meyakinkan muncul ditempat-tempat perhimpunan.

Berarak berbatu-batu dari Awan Besar ke Jalan Kebun Baru, disembur, ditembak, dihambat, dipukul, dibogelkan dan ditangkap. Sehingga ada yang memanggil mereka ini orang gila, namun apakah mereka ini tahu erti SERIK, tahu erti TAKUT. Tidak… walau pun mereka sedar untuk membebaskan Anwar bukan tugas mudah.


Persoalan saudara, adakah Anwar nampak mereka, kenal mereka, tahu nasib mereka? Jawapannya mungkin ya, mungkin tidak. Adakah saudara Anwar mahu pun Wan Azizah bersalah? Itu pun tidak. Kerana apa? Kerana setiap orang yang berjuang pada peringkat ADIL dan Reformasi… mereka pejuang tulen, pejuang yang tidak memikirkan apa-apa, yang tidak minta dikenali waima sebotol air pon tidak mereka minta.


Lantaran Fasa ke 3 bergerak, penubuhan wadah politik bermula. Maka bermula detik ini, semangat perjuangan sudah mula berubah arah. Ada segelintir mahu dikenali, mahu merapati Anwar walau dengan apa cara sekali pon. Saya tidak kenal saudara, saudara bertuah dapat lorong untuk dikenali dikalangan pemimpin-pemimpin besar parti.


Saudara bertuah kerana ada ayah angkat yang boleh menjadi jambatan untuk saudara mengorak langkah politik. Bagaimana dengan mereka yang tidak punya apa-apa seperti yang saya nyatakan di atas; yang selekeh, tiada keterampilan, tidak meyakinkan. Adakah mereka ini tidak tahu apa itu perjuangan.


Mungkin saudara tidak mengerti apa itu percaturan politik. Wadah politik tetap sama, ada kedudukan, ada kuasa, ada kawan, ada lawan luar dan dalam, ada kepercayaan, ada tikam belakang, ada kejujuran, ada juga penyelewang. Itulah sepak terajang politik. Yang sering menjadi intipati dalam politiking ialah PELUANG.

Anwar sebagai orang politik perlu melihat skop yang lebih luas terutama untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Jika tidak berada di tempat yang tinggi, jangankan kuasa, suara pon tidak akan didengari orang. Jika saudara di tempat Anwar dalam keadaan terdesak, kesuntukan masa, mampukan saudara memilih, mengenali dan menyiasat latar belakang.

Saya menjangkakan saudara juga akan memilih rakan, sahabat, saudara mara yang lebih dikenali untuk membantu membangunkan kuasa politik. Inilah kesilapan Anwar dan dia telah akui dan perlu lebih berhati-hati dengan mereka yang ada disekeliling beliau sekarang ini.

Seperti Anwar yang bercita-cita menjadi pemerintah, begitu jugalah juak-juak yang ada disekeliling partinya malah rakan gabungan parti juga. Siapalah tidak teringin menjadi bapak menteri; yang ada kereta besar, rumah besar, dikawal siang malam, disambut, disanjung ditatang setiap masa. Sejarah melayu sudah menceritakan mereka yang rapat dengan sultan seperti bendahara serta sida-sida hingga ke tok penggawa, hidup mereka lebih mewah dari rakyat jelata. Siapa yang mampu menafikan.

Berbalik kepada isu perjuangan. Saudara Ezam memang pejuang tulen kerana siapakah yang mampu melakukan apa yang di telah dia lakukan. Mengenepikan kepenting diri dan keluarga demi seorang sahabat yang bernama Anwar.

Saya puji sifat perjuangannya. Akan tetapi seperti juga saudara, Ezam tewas bila dilambung badai besar dalam kepartian. Semangat juangnya luntur apabila melihat perkara yang sama berlaku dalam parti, sifat tamak kuasa, tamak harta mula berleluasa dalam parti. Jika Ezam, mahupun saudara, dan mereka yang sayangkan perjuangan bersikap jujur kepada kami, tindakan gempur dalam parti perlu dilakukan sepertimana semasa era reformasi dahulu.

Kalau Anwar sanggup digelar penderhaka hanya kerana memperjuangkan keadilan, mengapa tidak saudara sendiri, Ezam dan yang lain sanggup digelar penderhaka demi memperbetulkan budaya parti. Langkah keluar dari parti bukanlah langkah bijak untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu mengembalikan keadilan di bumi Malaysia tercinta ini. Ini kerana saudara dan yang lain-lain telah mendapat tempat untuk terus bersuara dan menentang kezaliman yang menular dalam parti itu sendiri.

Kami pejuang reformasi yang selekeh, yang tidak berketerampilan dan tidak meyakinkan tidak mempunyai tempat dalam parti untuk sama berjuang. Tetapi harapan kami adalah kepada orang-orang seperti saudara, Ezam dan lain-lain yang sayangkan perjuangan untuk menjadi wakil dalam parti untuk mencapai cita-cita Negara adil, aman dan sejahtera.

Kami mungkin nampak bodoh, tetapi bukan kami bodoh. Perjuangan dan kuasa kami hanya dikertas undi. Oleh itu jika tiada wadah yang boleh kami sandarkan kepercayaan kami, maka kami akan tewas kepada mereka yang sukakan kemungkaran, sukakan pembaziran, sukakan kezaliman, sukakan penindasan. Jika itu yang terjadi, maka sia-sialah mandian wangi water canon dan gas penyegar mata yang kami harungi dahulu berkubur bersama kenangan yang pilu.

Kerana takut dipukul badai, berpindah jauh dari pantai

Inilah yang berlaku kepada 2 golongan iaitu pejuang separuh jalan dan pengkhianat agenda perjuangan

Kepada sharpshooter, harap panjangkan warkah ini kepada pejuang keadilan sdr Anwar.


Daripada : Azri Khairuddin


Nama Blog: LANG



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *


Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/