Laporan polis tersebut dibuat pada jam 3.00 petang tadi di Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu kerana berunsur fitnah serta memalukan wakil rakyat berkenaan.
Katanya, pihak polis diminta segera bertindak membuat siasatan terhadap penulis serta akhbar terbabit agar tidak meneruskan laporan bersifat fitnah dan memalukan itu.
"Kami buat laporan polis ini supaya pihak polis segera buat siasatan terhadap akhbar yang terlibat agar jangan meneruskan lagi.
"Kita minta mereka (akhbar) segera menunaikan beberapa tanggungjawab terhadap kesilapan yang mereka buat dengan menjatuhkan imej saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih oleh rakyat," tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chendering dengan diiringi oleh beberapa orang ahli jawatankuasa Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payung.
Ini berikutan, laporan sebuah akhbar arus perdana itu yang melaporkan 'Pegawai Adun mengaku khalwat' serta dikaitkan dengan Adun Bukit Payung.
Mohd Nor turut melahirkan rasa kesal dan malu dengan fitnah yang dikaitkan isu khalwat dengan Pegawai Adun Bukit Payung.
"Saya buat laporan fitnah dan malu. Memalukan saya dan rakyat di Bukit Payung. Fitnah 'jahat' yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks, sedangkan saya tidak memiliki mana-mana pegawai.
"Ini (laporan) bukan hanya memalukan saya tetapi memalukan rakyat di Dun Bukit Payung, yang mereka memilih saya menjadi wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-12, lalu," ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu menafikan mengenali individu terbabit berdasarkan laporan berita tersebut.
Katanya, dalam Dun Bukit Payung mempunyai lebih 19,000 pengundi yang terdiri dari kalangan rakyat Umno, PAS dan lain-lain.
"Saya tidak kenal individu itu berdasarkan laporan berita tersebut. Pengundi di Dun Bukit Payung seramai 19,000 orang yang terdiri dari rakyat Umno, PAS dan sebagainya.
"Nama Mohd Din Jusoh mungkin ramai yang terdapat di Dun Bukit Payung. Saya tidak pernah melantik dia (Mohd Din) sebagai pegawai Adun.
"Ini fitnah 'jahat' yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks sedangkan, saya tidak memiliki mana-mana pegawai," jelasnya.
Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor telah menyerahkan kepada pihak peguam dari Dewan Pemuda PAS negeri bagi meneliti serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.
Hadir sama mengiringinya, Ketua Penerangan Dun Bukit Payung, Mohd Nasir Ismail.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone