SharpShooter Followers


Saturday, November 17, 2012

Jangan jadikan fitnah sebagai wacana untuk runtuhkan Melayu dan Islam


Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bangsa Melayu dan umat Islam perlu memperkasakan peradaban dan tidak menjadikan fitnah dan aib sebagai wacana sehingga melampaui batas.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, memperkasakan soal kaum dan meninggalkan kepentingan akhlak serta peradaban bukan tuntutan Hijrah yang sebenar.

 “Dari aspek Melayu apa yang perlu ditekankan ialah merubah Melayu supaya menjadi bangsa yang baik dari segi akhlak, jiwa dan ilmunya.

“Bangsa Melayu dan umat Islam kini mesti bebas dari kerakusan dan memperkasakan peradaban. Jangan jadikan fitnah dan aib sebagai wacana besar dalam negara sehingga melampaui batas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran buku ‘Islam dan Melayu’ oleh Datuk Dr Siddiq Fadzil, sempena Seminar Maal Hijrah 1434H peringkat Pulau Pinang di Kompleks Tabung Haji, dekat sini pagi tadi.

Majlis ini antara program Jelajah Merdeka Rakyat KEADILAN di negeri itu hari ini. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, sambutan Maal Hijrah tidak membawa pengertian sekiranya tiada perubahan yang dilakukan.

Katanya, wacana harus menjadi budaya dalam negara, namun ia seolah-olah dikongkong dari terus berkembang, walaupun Malaysia sebuah negara Islam. “Wacana seharusnya menjadi acara rutin Kerajaan Pakatan Rakyat kerana ia mengenengahkan pandangan para ilmuan. Ia juga tidak harus dijadikan sebagai acara tahunan semata-mata.

“Jika dahulu pendita Za’aba mempersoal kemiskinan bangsa Melayu, kini perbahasan mengenai isu Islam dan Melayu juga harus dilipatgandakan bagi merubah pemikiran umat supaya tidak terkongkong dan terhalang,” sambung Anwar.

Dalam isu berkaitan, beliau turut menempelak Perdana Menteri yang hanya tersenyum dan tidak menegur Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang menyerang Islam di hadapan beliau.

Pelancaran buku ‘Islam dan Melayu’ – Martabat Umat dan Daulat Rakyat tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Empat panel dalam wacana tersebut ialah Siddiq Fadzil; Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusuf Rawa; dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.




Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/