Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...
Syukur pada Allah SWT kerana kita masih lagi diberi kekuatan dan kemenangan. Syabas saya ucapkan kepada PAS yang berjaya mengekalkan kemenangan biarpun menang tipis. Syabas juga kepada B-End kerana berjaya mengekalkan rekod kekalahan pilihanraya kecil yang ke 6 biarpun di bawah PM baru yang ke 6.
Setinggi-tinggi penghargaan buat jentera dan petugas PAS dan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus tanpa mengenal erti penat dan lelah dalam perjuangan. Tanpa anda dan rakyat yang menyokong, siapalah mereka yang bergelar Yang Berhormat. Yang bergelar YB tidak harus lupa akan pengorbanan jentera dan rakyat. Rakyat menaruh harapan tinggi untuk melihat dan merasai perubahan.
Setelah melihat keputusan di Manek Urai, mahu tidak mahu, suka atau tidak, sudah sampai masanya kita harus melihat dan mengambil iktibar keputusan di Manek Urai secara Kaffah dan wajib bermuhasabah. Saya telah membuat analisa awal Manek Urai dalam artikal semalam. Saya amat terpanggil untuk memberikan beberapa pandangan dan cadangan yang perlu diberi perhatian segera oleh Pimpinan Tinggi Pakatan Rakyat.
1) Sudah sampai masanya Pakatan Rakyat wajib berubah dan bukan lagi hanya retorik. Maknanya Pakatan Rakyat wajib berdaftar dengan lambang atau logo baru Pakatan Rakyat. Rakyat sudah boleh menerima sistem dua parti di Malaysia seperti di Amerika Syarikat sebagai contoh, Parti Demokrat lawan Republikan. Di Malaysia, Pakatan Rakyat lawan Barisan Nasional. Maknanya baik calon PAS atau DAP atau PKR bertanding atas lambang Pakatan Rakyat bukan lagi PAS atau PKR atau DAP.
2) Wujudkan segera jentera Pilihanraya Pakatan Rakyat baik di Peringkat Tertinggi, Negeri, Bahagian (Kawasan/Cabang) dan Cawangan (Ranting). *Cabang dan Ranting adalah istilah baru yang digunapakai oleh PKR untuk Bahagian dan Cawangan. Apa yang berlaku sekarang adalah jika yang bertanding itu calon PAS maka jentera PAS lah yang bertungkus lumus, PKR dan DAP hanya membantu. Begitulah sebaliknya dan ada juga yang boikot kerana tidak puas hati atau terlalu ego. Tetapi kita tidak pernah ada jentera pilihanraya Pakatan Rakyat. Yang ada hanya jentera PAS, PKR dan DAP. Itupun buat kerja secara berasingan dan kadang-kadang berlaku perbalahan tentang cara berkempen, gerak kerja dan sebagainya. Masing-masing buat hal masing-masing. Tidak ada penyelerasan. Maka bagi saya sudah sampai masanya jentera pilihanraya Pakatan Rakyat diwujudkan segera.
3) Pertelingkahan Pimpinan Pakatan Rakyat di media arus perdana wajib dihentikan segera. Satu Jawatankuasa Disiplin Pakatan Rakyat yang bebas perlu segera ditubuhkan. Baik pimpinan tertinggi mahupun pimpinan bawahan, tidak ada terkecuali dan tidak ada "double standard" ke atas tindakan disiplin.
4) Perlu juga ditubuhkan segera Jawatankuasa Pengaduan Pakatan Rakyat yang bebas. Kerana kita tidak mahu ada ahli atau pimpinan bawahan yang dizalimi oleh pimpinan parti. Kita perlu wujudkan satu jawatankuasa pengaduan yang adil untuk menerima aduan dan menyiasat setiap aduan dengan adil dan bebas. Tindakan berat dan tegas akan dikenakan sekiranya aduan itu adalah palsu dan fitnah. Saya cukup yakin tidak akan ada lagi pimpinan bawahan yang terpaksa menggunakan media arus perdana untuk buat pendedahan. Kebanyakkan kes, mereka terpaksa gunakan media arus perdana setelah aduannya tidak diendahkan atau dipedulikan oleh pimpinan tinggi.
5) Satu jawatankuasa pendaftaran mengundi juga perlu diwujudkan segera. Jawatankuasa ini tugasnya mencari seramai mungkin rakyat yang tidak berdaftar dengan SPR. SPR telah umumkan 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi belum berdaftar.
6) Cara penerangan Pakatan Rakyat juga harus ada transformasi. Cara yang kita gunakan sekarang adalah ceramah,risalah, sms, vcd dan internet. Inilah cara yang kita gunakan sekarang tetapi kita mahu keputusan yang berbeza. Bagaimana kita boleh dapat keputusan yang berbeza sedangkan kita masih gunakan cara yang sama. Kita harus memikirkan sesuatu di luar kotak pemikiran. Penerangan adalah nadi dan strategi yang amat penting. Maaf..bila sebut strategi, mana mungkin saya akan nyatakan di sini.
7) Bimbingan dan latihan terutamanya PACA Pakatan Rakyat wajib dimulakan sekarang. PACA adalah benteng terakhir yang kita harapkan. Kita akui ada di sesetengah tempat jentera PACA terlalu lemah. Ini harus kita perbaiki segera. Kerana terdapat terlalu banyak kes oleh kerana pemahaman jentera PACA yang cetek dan lemah, akhirnya kita ditipu oleh SPR dan BN di saat-saat akhir.
Dan akhir sekali pemimpin harus berlapang dada untuk menerima teguran. Pahit adalah ubat yang mujarab. Kepedulian terhadap permasalahan rakyat harus diutamakan dan ditingkatkan. Tidak akan hilang bisanya jika ular menyusur akar. Buang yang keruh ambil yang jernih.
Saya cukup yakin jika ini mampu dilaksanakan dan dicanaikan segera, InsyaAllah dengan berkat kesabaran kesungguhan dan tawakkal, kita mampu menawan Malaysia pada PRU 13.
"KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT "
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat
Exco AMK Malaysia