SharpShooter Followers

Saturday, January 15, 2011

PAS kini berada di titik tengah

1. Mutaakhir ini terlalu banyak isu sensitif yang menguji kebijaksanaan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang popular di pentas politik tanahair. PAS terpaksa berhadapan dengan ketegasan hujjah berasaskan syariah yang diperjuang disamping sokongan masyarakat dari pelbagai kaum dan agama yang diperlukan. Jua tidak dinafikan betapa PAS juga akan berhadapan dengan "serangan hendap" dari musuh yang hanya menanti saat berlakunya kesilapan dalam tindakan dan kenyataan.

2. Malah saya juga dapat mengesan bagaimana masih wujudnya dari kalangan ahli yang sukar memahami isu dan menerima keputusan yang diambil oleh jamaah lalu disulitkan lagi dengan kritikan melulu tanpa asas yang kukuh dari pihak yang mendakwa sebagai penyokong parti tetapi tidak ubah seperti sokong yang membawa rebah.

3. Mempertahankan agama serentak dengan keperluan mencari sokongan politik dari pelbagai pihak, adalah suatu yang tidak mudah bagi PAS. Mental yang mantap dan jiwa yang tabah mesti seiring dengan hujjah yang kukuh dan hikmah [kebijaksanaan] yang utuh. Bahkan perlu kepada pemimpin yang tinggi nilai taqarrub [ dekatnya dengan Allah ] . Kini gerakan PAS tidak lagi sehala atau dua hala antara PAS dengan anggotanya atau anggotanya dengan PAS, tetapi PAS kini berada di titik tengah dalam lingkungan 360 darjah yang semuanya menghala ke arah PAS sementara mengharapkan tindak balas positif dari PAS.

4. Apa yang saya maksudkan ialah PAS tidak lagi parti defensive tetapi juga offensive sebagaimana PAS tidak hanya parti yang responsive tetapi juga creative. Malah PAS mula me'lasak' kan diri untuk menerima pandangan - pandangan bersifat kritikal dan sinikal dari pihak luar sempadan parti. Juga PAS kini membiasakan diri malah kelihatan mula mesra dengan pandangan kedua sebelum membina pendirian yang konkrit.

5. Disiplin kental yang berpaksi kepada akhlak berjamaah pula melandasi prinsip syura dalam membuat keputusan adalah potensi PAS untuk terus thabat [ utuh ] mendokong cita - cita perjuangan Islam tanpa menjarakkan diri dari arus perdana politik moden. Tegas mempertahankan syiar dan syariat Islam namun toleransi dalam komunikasi dan interaksi.

6. Saya turut merasakan suhu tinggi ditanggung oleh PAS setiap kali terpaksa bersabar dengan karenah rakan dan lawan yang kadangkala mengganggu rentak dan prestasi. Segalanya membekalkan khibrah [ pengalaman ] buat PAS yang kian dewasa dan matang dengan zaman yang direntasinya. Dalam kematangan yang sedemikian, tidak mungkin PAS mengkhianati rakan sebagaimana tidak mungkin PAS sujud mengalah kepada lawan.

7. Baru - baru ini timbul isu Interlok yang dipolitikkan secara sistematik diambang pilihanraya kecil N 05 Tenang. Dewan Pemuda PAS Malaysia bertindak pantas menganjurkan sidang meja bulat untuk mempertemukan 2 pihak yang bertelagah. Demikian juga apabila timbul kritikan terhadap hukum - hukum Allah, Dewan Pemuda PAS sekali lagi tampil secara diplomasi dan akademik, menganjurkan Nadwah Kefahaman Islam secara bersiri [ NAFAS ]. Insyaallah siri berikutnya pada 6 Mac 2011 akan datang bagi memberikan penjelasan mengenai Islam kepada semua termasuk non muslim.

8. Demikianlah isu pekerja muslim di premis arak. Saya bersetuju dengan cadangan Yb Khalid Samad dari Shah Alam yang menegaskan agar terlebih dahulu kerajaan yang berkuasa mewujudkan peluang pekerjaan halal untuk memindahkan pekerja dari premis haram ke premis halal tanpa perlu mencetuskan polemik [ kecuali kepada mereka yang sengaja engkar selepas daripada itu ], namun tindakan mempertegaskan hukum dan meletakkan syarat yang menepati hukum syara' sebagaimana yang dipertegaskan oleh pihak MPSJ dan Yb Dato' Hassan Ali juga wajar disokong penuh agar ummat Islam menginsafi bahawa premis haram tidak layak untuk mereka mencari rezeki.

9. Kelihatan azan juga mencetus konflik yang perlu ditangani dengan bijak dan hikmah. Saya sedikit pun tidak hairan apabila seorang non muslim mengkritik azan yang dikumandangkan melalui pembesar suara, pula tindakan mereka kononnya berasaskan hak asasi mereka untuk hidup damai tanpa gangguan. Persoalannya sejauh mana kita menemui mereka untuk memahamkan mereka bahawa azan adalah sebahagian dari syiar agama Islam dan ia adalah urusan rasmi ummat islam yang tidaklah boleh dipertikaikan begitu sahaja. Jika Islam adalah agama rasmi negara dan ia diterima oleh semua maka sewajarnya azan tidak menjadi gangguan kepada mereka, terutama apabila mereka memahami unsur - unsur positif yang terkandung di dalam seruan azan tersebut.

10. Ertinya usaha PAS hari ini ialah menginsafkan ummah, memahamkan non muslim dan menyedarkan mereka akan tanggungjawab beretika dalam negara berbilang bangsa dan agama yang Islam menjadi agama rasminya. Saya yakin dan percaya, tiada insan yang bodoh dan dungu untuk menolak seruan kebaikan, kejayaan , kecemerlangan sebagaimana yang dilaungkan oleh muazzin saban waktu selain ia turut mendisiplinkan manusia dengan dengan masa agar hidup manusia tidak lagha [ lalai ] dan alpa.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Nasrudin Hassan Tantawi



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/