Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Mohd Suhaimi Abdul Aziz mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak, supaya menerima pelawaan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat mengenai ‘Janji 100 hari Pakatan Rakyat’.
Dalam nada yang sinis, Suhaimi berkata, beliau percaya Perdana Menteri sepertimana yang dinyatakan baru-baru ini, mempunyai maklumat yang lengkap dan mampu berhadapan dengan hujah Ketua Pembangkang itu.
“Beliau (Najib) mempunyai ramai pegawai-pegawai khas, Jabatan dan Unit yang mampu memberikan input penting dalam perdebatan ini dan kami percaya di akhir debat nanti, akan ada seseorang yang demam’ sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Menurut Suhaimi, debat itu penting supaya rakyat boleh menilai hujah dan fakta yang dilontarkan antara beliau selaku Perdana Menteri yang mewakili kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
“Kami merasakan rakyat berhak mengetahui apakah kandungan yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat dalam buku Jingga benar-benar realistik ataupun retorik semata-mata. Perdana Menteri pula boleh mengemukakan hujah balas dengan mengemukakan apakah sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh pembangkang selama ini terhadap rakyat,” kata Suhaimi dalam kenyataan media.
Tambahnya lagi, sepatutnya Perdana Menteri memandang isu perdebatan sesuatu yang baik kerana ia adalah amalan biasa di negara-negara maju bagi membuktikan siapa yang mampu memberi khidmat terbaik untuk rakyat.
“Dengan perdebatan secara akademik, sihat, bernas, terbuka dan matang akan mampu membentuk budaya pemikiran positif dari kalangan rakyat Malaysia. Lagipun isu ini adalah penting yang melibatkan kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, Suhaimi turut membidas akhbar dan media kerajaan kerana tidak mampu memberikan jawapan tepat mengenai isu ini sedangkan pemimpin Pakatan Rakyat tidak pernah diberikan ruang dan peluang bagi menjelaskan janji mereka.
Menurutnya lagi, perdebatan antara kedua tokoh negara ini bakal menjadi mercu tanda negara yang mengamalkan demokrasi yang sihat. Ia bakal memahat sejarah tersendiri apabila seorang Perdana Menteri mampu berhadapan dengan sesiapa sahaja demi kepentingan rakyat dan negaranya.
“Rakyat pula akan mengenang dan menghormati Perdana Menteri Malaysia sebagai PM yang paling ‘gentleman’, berjiwa rakyat, tidak beretorik, dan berjiwa besar sekiranya penerima pelawaan debat ini,” katanya.
Sharpshooter - Rakyat teruja nak lihat Anwar demam selepas debat dan najib akan pitam. Berbuih mulut pak menteri sudah tertulis dalam lipatan sejarah...
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/