SharpShooter Followers

VIDEO CLIP PERTAMA JINGGA 13 YANG PALING POPULAR

Thursday, January 13, 2011

Skandal RM30juta Pulau Jerejak terbongkar



Pemberian Pulau Jerejak untuk projek pembangunan resort semasa kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sedekad lalu telah menyebabkan Pulau Pinang kerugian hampir RM30 juta.

Kawasan itu diberikan kepada UDA Holdings Berhad oleh pentadbiran bekas ketua menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon awal dekad lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) berkata, kerugian sebanyak RM19 juta ditanggung oleh Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) manakala kerajaan negeri pula rugi RM10.6 juta dalam bentuk premium tanah, yang masih belum dibayar oleh Syarikat Tropical Island Resort (TIR).

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon telah membuat tuduhan ke atas kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang tentang salah pengurusan jeti berlepas Pulau Jerejak dan Bayan Bay serta syarikat TIW semasa menghadiri bengkel BN pada Ahad lalu,” kata beliau.

Lim berkata semalam beliau telah mengingatkan Koh bahawa jeti berlepas Bayan Bay dan Pulau Jerejak terletak di bawah TIR dan bukannya pengurusan kerajaan negeri Pakatan Rakyat sekarang.

TIR dimiliki 51 peratus oleh UDA manakala 49 peratus oleh PDC.

Lim berkata, hampir kesemua tanah yang boleh digunakan di Pulau Jerejak telah pun diserahkan oleh Koh kepada UDA semasa BN memerintah.

“Yang teruk lagi ialah pelaburan PDC sebanyak RM15.435 juta dalam TIR dan pinjaman kepada TIR RM3.6 juta, menjadikan keseluruhannya RM19 juta tidak boleh diperoleh balik,” kata beliau.

“Malangnya saya telah buat kesilapan kerana kerugian keseluruhan kepada kerajaan negeri bukan setakat RM19 juta (di pihak) PDC.

“Tetapi ada lagi kerugian RM10.6 juta oleh kerajaan negeri menerusi Pentadbir Tanah dan Galian Pulau Pinang kerana kegagalan TIR membuat bayaran premium tanah untuk 32 hektar (80 ekar) tanah di Pulau Jerejak yang diberikan,” katanya lagi.

Sehubungan itu Lim berkata, macam mana Koh boleh menjadi menteri yang bertanggungjawab kepada indeks prestsi utama yang profesional, bertanggungjawab dan baik sekiranya beliau tidak mahu bertanggungjawab atas skandal RM30 juta itu.

“Dan, enggan memberi penjelasan. Sebaliknya beliau terus mempersalahkan kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang atas masalah dalam jeti berlepas Bayan Bay dan Pulau Jerejak serta pengurusan syarikat TIR bila semua diluluskan di bawah BN oleh beliau dari tahun 1992-2007 kepada UDA menerusi TIR,” katanya.

Permohonan tanah di Pulau Jerejak telah dibuat oleh TIR pada 19 November 1997 manakala kelulusan diperoleh pada 15 Januari 2001 dengan tempoh pajakan adalah selama 60 tahun, yang akan tamat tempohnya pada 10 Oktober 2062.

Lim berkata, jumlah premium tanah yang dikenakan ialah RM12.95 juta dan setakat ini jumlah yang telah dibayar TIR adalah sebanyak RM4.63 juta.

Baki yang masih belum dijelaskan RM10.60 juta.

Ketua Menteri juga berkata, pada mesyuarat 3 Januari 2001, Exco telah membuat keputusan TIR diberi geran hak milik sebaik sahaja ansuran pertama sungguhpun tidak dijelaskan dengan sepenuhnya.

“Ini berlawanan dengan amalan biasa di bawah Seksyen 180 Kanun Tanah Negara bahawa Pentadbir Tanah hanya boleh keluarkan geran apabila bayaran premium dijelaskan dengan sepenuhnya.

“Sebagai rumusan geran tanah tidak sepatutnya dikeluarkan sehingga premium tanah dibayar penuh supaya tidak berlaku hutang bayaran premium,” katanya lagi.

Kata Lim, modal berbayar TIR adalah sebanyak RM31.5 juta manakala kos pelaburan PDC berdasarkan ekuiti 49 peratus adalah sebanyak RM15.435 juta.

Katanya, pada 28 Disember 2007, PDC telah memberi pinjaman pemegang saham sebanyak RM3.41 juta kepada TIR untuk menampung kos operasi syarikat.

Keseluruhan jumlah tersebut sebanyak RM3.60 juta termasuk faedah sebanyak RM193,553 masih belum dijelaskan.

“Dengan kata lain, jumlah keseluruhan besar kerugian yang dihadapi oleh PDC dan kerajaan negeri berkaitan dengan skandal kelulusan tanah Pulau Jerejak kepada TIR adalah sebanyak RM30 juta,” kata beliau.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/