SharpShooter Followers

Monday, August 10, 2009

Tan Sri Khalid Menteri Besar tiada kuasa?

SUBANG JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan larangan menyeluruh terhadap jualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam kerana perkara itu tidak diperuntukkan dalam undang-undang negeri.

Oleh itu tegas beliau, hanya penjual dan pengedar sendiri boleh menentukan sama ada mahu menjual atau sebaliknya mengikut konsep kawal selia kendiri diumumkan kelmarin.

"Saya tiada kuasa... kuasa untuk itu tidak ada dalam undang-undang.

"Yang ada kuasa hanyalah tempat.. premis itu," kata beliau selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Penggerak Belia Tempatan peringkat zon di sini, hari ini.

Isu arak: PAS tolak kawalan kendiri

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuntutan PAS Selangor supaya negeri itu melaksanakan larangan menyeluruh penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam.

Kelmarin, Khalid berkata, pengedar dan penjual minuman keras terutamanya kedai serbaneka di Selangor perlu menggunakan konsep kawal selia kendiri bagi mengelakkan suasana tidak senang di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Bagaimanapun, konsep itu ditolak oleh PAS negeri.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, PAS boleh melaksanakan kawal selia kendiri terhadap umat Islam di negeri itu supaya tidak membeli minuman keras kerana Islam sememangnya melarang minuman itu.

"Jadi tidak payah dipersoalkan lagi, maknanya tanggungjawab kawal selia kendiri oleh orang Islam telah jelas... tak payah nak ajar orang lain, kita ajar orang Islam sahaja.

"Tapi kalau ada orang bukan Islam yang boleh membeli, kita tidak boleh sekat tapi dalam keadaan tertentu, biasanya penentuan untuk penjualan terpulang kepada permintaan pasaran.

"Kalau tiada permintaan, orang tidak akan beli. Jadi sebab itu, kita sekarang dalam masyarakat madani, dalam masyarakat pelbagai kaum yang hidup dalam cara yang berbeza tapi kita duduk bersama menghormati satu sama lain," katanya.

Khalid mengulangi konsep kawal selia kendiri lebih berkesan daripada penguatkuasaan undang-undang kerana selepas beliau memberi penerangan kepada pemilik-pemilik premis 7 Eleven minggu lalu, lebih 10 premis jenis itu tidak menjual minuman keras secara terang-terangan.

"Ada yang tidak menjual langsung, ada yang tidak menjual secara terang-terangan.

"Bila ada konsep ini, pemilik kedai berasa bertanggungjawab tentang keadaan masyarakatnya dan orang yang membeli pun bertanggungjawab.

"Maknanya, ini lebih baik dari undang-undang yang kita keluarkan. Kita banyak undang-undang tapi orang tidak ikut," katanya.

SEDIA DENGAR

Khalid berkata, pihaknya bersedia mendengar sebarang cadangan untuk mengatasi masalah amalan meminum minuman keras di kalangan umat Islam yang disifatkannya bukan sahaja berkaitan masalah agama tetapi juga masalah sosial.

Katanya, jika pelaksanaan konsep kawal selia kendiri membuahkan hasil dalam masa sebulan, kerajaan negeri akan memperkenalkan konsep tersebut di Petaling Jaya.

PAKATAN BINCANG KHAMIS

Ditanya sama ada beliau akan berbincang dengan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali memandangkan PAS Selangor telah menyatakan pendirian mereka menolak konsep tersebut, Khalid berkata, perkara itu hanya akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Khamis ini.

Berhubung kenyataan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengatakan isu tersebut menunjukkan ketidak sepakatan dalam Pakatan Rakyat di Selangor, Khalid berkata, BN tidak boleh menggunakan PAS atau Parti Keadilan Rakyat jika mereka berniat mahu melakukan perubahan.

"Kalau rasa nak haramkan minuman ini, buat memorandum kepada Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, kerajaan akan turut mengamalkan konsep kawal selia kendiri di peringkat pihak berkuasa tempatan supaya masyarakat dapat menentukan apa yang terbaik untuk mereka termasuk dari aspek kebersihan, pengawalan jenayah dan tata tertib.

Bagi saya jika sekiranya Tan Sri Khalid berkata beliau tiada kuasa...kuasa tiada dalam undang-undang, eloklah sudah sampai masanya Anwar Ibrahim tukarkan saja Menteri Besar itu kepada pimpinan PKR yang lain. UBAH SEBELUM PARAH, UBAH DEMI MARUAH.

Rakyat beri kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perubahan. Tugas wakil rakyat adalah membuat dasar dan polisi kerajaan.

Jika negeri yang kita perintah, kita boleh meminda undang-undang negeri. Jika negara yang kita perintah, kita boleh meminda undang-undang negara pula.

Kalau pembangkang sudah tentu kita tiada kuasa untuk meminda undang-undang. Pindaan undang-undang memerlukan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan negeri. Persoalannya sudahkah kita yang sedang memerintah membawanya ke Dewan Mesyuarat Negeri?

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/