Saya sempat menemui aktivis Kedah pagi tadi untuk menanyakan hal yang sebenar berlaku di Alor Setar. Katanya isu ini bukan baru dan bukanlah tidak ada perbincangan langsung dengan DAP mahupun penduduk yang terlibat. Rupa-rupanya penduduk yang menyokong agar pusat penyembelihan babi ini dirobohkan dianggarkan lebih kurang 10 ribu orang. Manakala taukeh babi hanya lebih kurang 1o orang saja. Kerajaan Kedah beri kelonggaran dan bertolak ansur dengan mereka. Tetapi DAP yang gagal memenuhi janji mereka untuk mencadangkan tempat lain.
Manakala di Pulau Pinang pula isu Kg Buah Pala semakin serius. Benar perbincangan dan perundingan dgn penduduk telah diadakan. Benar majoriti penduduk tidak setuju dengan pampasan yg diberikan. Benar majoriti penduduk mahu kekal tinggal di situ.Benar akhirnya kes ini dibawa ke mahkamah. Benar akhirnya keputusan mahkamah menyebelahi pemaju bukan penduduk.
Persoalannya sekarang ialah adakah kerajaan negeri masih boleh membantu membela nasib rakyat Kg Buah Pala seperti yang dijanjikan sebelum pilihanraya? Penduduk di situ amat marah hingga keluarkan pertanyaan adakah nasib penduduk Kg. Buah Pala akan berbeza sekiranya penduduknya adalah kaum Cina? Di saat inilah UMNO dan BN akan gunakan isu ini untuk pecah belahkan Pakatan Rakyat. Di saat inilah juga rakyat sedang menunggu dan menilai sejauh mana kemampuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat mampu untuk menangani permasalahan ini.
Di dalam ucapan Mesyuarat Penuh MPSP terakhir saya pada bulan Februari, saya pernah membangkitkan isu DAP ini. Ini adalah sebahagian ucapan saya :-
Tuan Yang Dipertua dan para hadirin sekalian, pada 20 Februari 2009 bertempat di Hotel Berjaya Pulau Tikus, satu program bertajuk “Duniaku Suaraku, Dunia Anak Melayu P.Pinang” telah dihadiri oleh YB Chow Kuan Yeow Exco kerajaan Negeri dan bekas Naib Pengerusi DAP Pusat saudara Zulkifli Mohd Noor. Dalam program tersebut berbagai-bagai isu telah disuarakan serta kebimbangan orang-orang Melayu antaranya isu tanah, perumahan, nelayan, peniaga kecil serta dasar kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Dalam isu YDP MPPP dan MPSP ada yang mencadangkan sekiranya jawatan YDP mahu diberi kepada orang politik biarlah YDP MPSP diberi kepada Parti Keadilan Rakyat dan YDP MPPP pula, DAP dapat mengemukakan seorang tokoh Melayu dari DAP untuk menjawatnya. Persoalan juga timbul mengapa tiada wakil Melayu di kalangan Ahli Majlis MPSP dari DAP. Bukankah DAP merupakan sebuah parti berbilang bangsa? Pada pandangan saya DAP harus mengikis persepsi rakyat terutamanya kepada orang Melayu bahawa mereka bukanlah sebuah parti perkauman Cina. Orang Melayu juga amat berharap agar kuota 5 orang Pegawai Daerah yang tidak akan disambung menjadi Ahli Majlis dapat diisi oleh wakil Melayu.
Saya tidak bercadang membangkitkan isu perkauman tetapi saya mahu dan inginkan agar DAP benar-benar dapat menghakis persepsi rakyat bahawa mereka bukanlah sebuah parti perkauman Cina tetapi DAP adalah sebuah parti berbagai bangsa. Justeru itu saya amat berharap agar DAP dapat memberi perhatian pada pandangan saya tadi.
Itulah sebahagian ucapan serta pandangan terakhir yang saya sempat utarakan dalam Dewan Mesyuarat Penuh MPSP sebagai Ahli Majlis. Namun saya berharap agar pimpinan PKR P.Pinang dapat berbuat sesuatu demi untuk kebaikan semua pihak. Tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak.
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat