Walaupun parti pemerintah khususnya UMNO masih lagi berteka-teki berkenaan tarikh keramat tersebut, namun perang bendera antara parti politik sudah pun bermula, tidak kira daripada parti pemerintah mahupun dari parti pembangkang sekali pun.
Hal ini sudah menjadi tanda yang jelas bahawa PRU13 tidak lama lagi, dan boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja atau paling lewat sekali pun pada hujung tahun ini. Dalam misi menongkah perjalanan menuju tarikh PRU13 yang bakal menjelma, setiap parti politik, kerajaan mahupun pembangkang semakin giat memenangi hati rakyat. Dalam keghairahan menuju PRU13, beberapa perkara yang harus diberi perhatian, terutamanya daripada parti UMNO itu sendiri. Hal ini disebabkan, UMNO boleh dikatakan sedang sakit dan harus diubati sebelum PRU13 berlangsung.
UMNO Ketandusan Pemimpin Muda
UMNO boleh dikatakan ketandusan pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber, berani, dan berjiwa besar. Itulah yang jelas daripada pandangan perspektif penulis. Persoalannya, dimanakah pemimpin-pemimpin muda UMNO yang lain? Ketua Puteri, Ketua Putera UMNO Malaysia boleh dikatakan sebagai golongan pelapis di dalam legasi kepimpinan UMNO. Dalam hal ini penulis tidak dapat melihat dengan lebih jelas apakah peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pemimpin muda ini, adakah sebagai memenuhi jawatan yang beri atau pun mahu menjadi popular dengan jawatan yang disandang.
Dalam ruangan yang terhad ini penulis ingin memuji peranan yang dimainkan oleh saudara Khairi Jamaluddin selaku Pemuda UMNO Malaysia, yang kiranya ketika ini boleh dikatakan antara pemimpin muda UMNO yang menyerlah daripada kalangan pemimpin-pemimpin muda UMNO lain. Tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa sesetengah anak-anak muda, mahupun mahasiswa mulai kagum dengan kredibiliti, karisma, dan keberanian beliau dalam mengurus sesuatu isu. Kekaguman sesetengah anak muda terhadap beliau bermula dengan keberanian Khairi untuk berdebat dengan saudara Rafizi Ramli berkenaan isu PTPTN.
Hal ini disebabkan belum ada lagi dalam kalangan pemimpin UMNO yang sanggup mahupun berani menyahut cabaran untuk berdebat berkenaan isu-isu semasa secara terbuka melainkan debat melibatkan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Shabery Cheek berkenaan isu harga minyak yang diadakan beberapa tahun lepas di Dewan Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka. Bukan lambang parti menjadi pokok perbincangan kali ini, tetapi menjadi kayu ukuran utama ialah penampilan pemimpin muda itu menjadi contoh atau ikon kepada pemimpin-pemimpin muda lain yang untuk terus berani tampil ke hadapan berkongsi idealisme, walaupun idealisme itu bertentangan dengan kehendak masyarakat.
Dalam pada masa yang sama Khairi juga turut aktif dalam memberi respond mahupun maklum balas berkenan isu-isu semasa melibatkan golongan muda mahupun mahasiswa. Isu terbaru yang mendapat perhatian beliau adalah berkenaan pembekuan pinjaman PTPTN terhadap mahasiswa baru unisel. Walaupun pendapat yang diberikan oleh Khair lebih kepada mewakili lidah UMNO/BN namun sekurang-kurangnya beliau berani memainkan peranan sebagai pemimpin muda yang harus peka berkenaan isu-isu semasa terutama melibatkan golongan mahasiswa. Persoalan yang harus dijawab oleh saf kepimpinan UMNO sekarang adalah ke mana menghilangnya pemimpin-pemimpin muda UMNO yang lain? Persoalan atau di leman inilah yang harus ditangani oleh UMNO dengan lebih cermat dan serius sekiranya masih lagi bercita-cita untuk kekal di Putrajaya.
Penulis melihat pada ketika ini hanya Perdana Menteri sahaja Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang betul-betul serius untuk memastikan UMNO terus kekal di Putrajaya. Jika kita melihat kepada kedua-dua pemimpin ini mereka bukanlah dalam kalangan pemimpin muda malah boleh dikategorikan sebagai pemimpin yang sudah separuh abad bergelumang dalam kancah politik negara. Siapakah yang ingin memimpin UMNO jika kedua-dua pemimpin ini tidak terdaya lagi? Jika UMNO masih lagi memilih untuk melihat pemimpin muda tidak mampu menerajui kepimpinan parti, terutama saf kepimpinan yang lebih tinggi seperti Majlis Tertinggi UMNO pandangan itu adalah dangkal sama sekali.
Hal ini disebabkan, jika kita melihat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat, jelas dan nyata bahawa mereka ramai dibarisi pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber seperti Mohamad Azmin Ali Timbalan Presiden PKR, Saifuddin Nasition Ismail Setiausaha PKR, Ustaz Nasaruddin Tantawi Ketua Dewan Pemuda Pas, Dato Seri Nizar Jamaluddin, Shamsul Iskandar Ketua Angkatan Muda PKR, Chegubard, Fariz Musa dan ramai lagi. Jika diamati nama-nama di atas, barisan pemimpinan ini amat dikenali dalam kalangan anak muda mahu pun mahasiswa. Sebab kenapa? Kerana mereka ini sentiasa mengambil berat dan juga cakna berkenaan isu-isu golongan muda berbanding pemimpin UMNO.
UMNO harus sedar bahawa zaman sekarang bukanlah zaman orang lama untuk terus berkuasa tetapi zaman yang mana orang lama harus memberi laluan orang muda untuk berkuasa. Dalam erti mudahnya orang lama perlu memberi laluan kepada pimpinan muda untuk berada dalam kedudukan mereka sekarang, ini jelas supaya idea dan pembaharuan-pembaharuan dalam parti dapat dilaksanakan, mengikut acuan politik semasa.
UMNO/BN Kurang Idealisme
Ternyata UMNO/BN ketika ini sangat tandus dengan idealisme. Mengapa penulis berkata demikian? Hal ini disebabkan, rakyat khususnya golongan muda ingin melihat serta menilai apakah idealisme atau dasar yang ingin dibawa UMNO/BN pada PRU yang akan datang dan bukannya meminta rakyat memutarkan kembali memori yang mana UMNO/BN pernah berjasa dalam membangunkan negara. Ya, UMNO pernah berjasa pada negara dan orang Melayu suatu ketika dahulu, Itu memang benar. UMNO/BN juga harus sedar bahawa rakyat ketika kini bukan mahu melihat apa yang telah dilakukan oleh UMNO suatu ketika dahulu, walaupun bermanfaat hanya sedikit untuk khabarkan, tetapi yang paling penting rakyat mahu melihat apakah dasar atau pun idea yang ingin dibawa oleh UMNO/BN untuk perancangan 5 atau 10 tahun akan datang.
Hal ini sangat berlainan dengan PR yang mana gabungan PAS, PKR, dan DAP sangat sarat dengan idealisme-idealisme yang membuatkan rakyat berfikir, menilai setiap dasar yang dikemukakan dan dasar itu akan dilaksanakan sekiranya mereka membentuk kerajaan kelak. Perkara inilah yang tiada di dalam UMNO itu sendiri. Mengapa ia terjadi? Hal ini disebabkan PR dibarisi ramai pemimpin muda yang sarat dengan idealisme dan juga memahami jiwa dan kemahuan anak muda seiringan politik semasa, berbanding dengan UMNO yang dibarisi ramai pemimpin sudah mencapai umur separuh abad. Malah, ramai dalam kalangan pemimpin UMNO tidak memahami jiwa-jiwa golongan muda. Sebab itulah golongan muda menjauhi UMNO yang perkiraan mereka UMNO tidak lebih sebuah parti politik untuk orang-orang lama dan veteran sahaja.
UMNO kini boleh digambarkan sebagai kereta lama buruk yang telah terlalu usang untuk dipakai. Justeru, kereta yang lama yang telah lapuk perlulah diganti dengan kereta yang baru dan lebih elok dan mengikut trend semasa.
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/