Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar bantuan tersebut merangkumi pelbagai aspek antaranya kewangan dan khidmat guaman.
“Sekiranya ada permohonan daripada Khalid, saya sedia berbincang dengan Exco Kerajaan Negeri yang lain untuk pertimbangkan apa jua bantuan yang diperlukan Khalid termasuk kewangan,” katanya semasa sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.
Dr Xavier juga mendakwa tindakan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar adalah tidak adil dan berbaur politik serta meminta Khalid membuat rayuan supaya hukuman itu ditarik balik.
Beliau turut mendesak UiTM untuk menarik balik penggantungan penuntut jurusan undang-undang itu dan menasihatkan Sahol supaya memberi tumpuan bagi meningkatkan kedudukan universiti itu daripada kedudukan 601 kepada 100 terbaik di dunia.
“Hanya kerana dia beri komen atas perkara tertentu (ugut polis dalam akaun Facebook miliknya), dia digantung belajar. Ia boleh jejaskan pengajiannya. Biarkan dia habiskan pengajiannya, selepas itu dia boleh berhujah untuk diri sendiri,” katanya.
Tambahnya, sepanjang tahun 2008 hingga 2012, Kerajaan Negeri mengeluarkan pinjaman hampir RM9.7 juta kepada pelajar UiTM melibatkan 1,665 orang, manakala seramai 7,420 pelajar universiti itu mendapat hadiah RM1,000 selepas memasuki IPT berkenaan.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri menyifatkan tindakan penggantungan pengajian Khalid adalah sebagai percubaan pihak berkepentingan yang takut dengan kebangkitan mahasiswa.
Menurutnya, sekiranya penggantungan pengajian Khalid tidak ditarik balik, AMK tidak teragak-agak untuk mendedahkan isu tersebut kepada orang ramai menerusi siri jelajah mahasiswa di seluruh Selangor.
Katanya, siri pertama akan dijalankan di Taman Setia, Jalan Johan Setia, Klang, pada 17 Jun ini.
“Saya ada bukti yang menunjukkan kebanyakan program di UiTM lebih cenderung untuk sokong BN. Malah, ada program motivasi yang diadakan menyatakan, sekiranya BN jatuh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), UiTM juga akan jatuh. Itu semua tidak benar, malah kami akan pertahankan UiTM,” katanya.
Kerajaan Negeri disarankan meneruskan cadangan untuk mencairkan aset Universiti Selangor (Unisel) yang dianggarkan bernilai RM30 juta bagi merealisasikan pendidikan percuma di Selangor.
Azmizam Zaman Huri berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan Pakatan Rakyat (PR) untuk melaksanakan model berkenaan di Unisel.
Katanya, tindakan itu akan memberi jawapan balas kepada respons negatif daripada Barisan Nasional (BN) yang mendakwa bahawa negara akan bankrap jika melaksanakan model tersebut.
“AMK Selangor menghargai kesediaan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar) yang berhasrat untuk membantu mahasiswa Unisel apabila Kementerian Pengajian Tinggi membekukan permohonan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) kepada mereka.
“Bagaimanapun, setelah pembekuan itu ditarik balik, ia membuktikan isu pendidikan tidak boleh menjadi ‘tarik tali politik’ dan PR tidak akan sekali-kali ikut rentak BN,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Azmizam mendakwa, kesediaan Kerajaan Selangor itu menjadi titik tolak kepada BN sehingga mereka menarik balik pembekuan yang dilakukan sebelum ini, seolah-olah isu itu merupakan ‘bahan mainan’.
“Kita sudah suarakan hasrat ini kepada Menteri Besar dan sedang tunggu jawapan beliau. Saya harap ia dapat dilaksanakan dan tidak perlulah pelajar Unisel pinjam PTPTN.
“Sebelum ini, AMK pusat juga berharap agar cadangan ini dapat dipertimbangkan Kerajaan Negeri untuk buktikan Selangor mampu beri pendidikan percuma,” katanya.
Jumaat lalu, Abdul Khalid berkata, aset Unisel yang merupakan hartanah seluas 200 hektar yang diperoleh hasil penyusunan semula hutang-hutang Talam Corporation Bhd akan dicairkan sebagai usaha jangka pendek membantu pelajar baru Unisel meneruskan pengajian.
Bagaimanapun, kelmarin, beliau berkata, dengan penarikan itu, aset sedia ada itu akan digunakan untuk pelan jangka panjang pembangunan Unisel supaya lebih ramai pelajar dapat ditempatkan
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/