SharpShooter Followers

Saturday, June 30, 2012

DENDAM PERIBADI DAN TEKANAN EMOSI MELAMPAU

Masyarakat diluar sana terutamanya orang Melayu terus disogok dengan kenyataan - kenyataan yang rendah nilai kemanusiaan meskipun kadangkala ianya datang dari wawancara seseorang yang bergelar intelektual; atau sekurang-kurangnya yang menganggap diri mereka seorang intelek.

Kenyataan terbaru dari seseorang yang kononnya mengaku intelek ini adalah daripada Dr Kassim Ahmad yang menempelak Dato Seri Anwar Ibrahim seperti yang diterbitkan dalam Malaysiakini edisi Bahasa Melayu yang dengan jelas menyebut tajuk Kassim Ahmad: Anwar patut dihukum gantung

Angkatan Muda Keadilan Selangor menganggap kenyataan berbaur kebencian ini tidak wajar keluar daripada mulut seorang intelek Melayu, apatah lagi AMK Selangor melihat ini sebagai satu serangan peribadi yang tidak wajar dilakukan oleh Dr Kassim Ahmad kerana siri-siri kegagalan beliau sendiri untuk mendapat sokongan umum dalam setiap perkara yang beliau lakukan.

Dr Kassim Ahmad juga dilaporkan menyebut sering bernada tegas dengan Dato Seri Anwar Ibrahim dan berniat untuk "meludah. menempeleng , memancung dan mengantung" Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu.

DENDAM DAN TEKANAN EMOSI MELAMPAU

Angkatan Muda Keadilan Selangor percaya kenyataan seumpama itu hanya akan didengari daripada individu yang mempunyai tingkah laku dan pemikiran penuh dendam dan berbaur emosi. Dr Kassim Ahmad dalam rungutannya telah menuduh Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang, yang dituduh menjadi dalang mengharamkan buku kontroversinya yang bertajuk Hadis: Satu Penilaian Semula pada 1986. 

Kenyataan ini wajar disanggah kerana melihat situasi pada 1986, Dato Seri Anwar Ibrahim bukanlah seseorang yang mempunyai kuasa; untuk mengharamkan atau sekurang-kurangnya mempengaruhi sebarang tindakan Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan buku tersebut. Ini jelas satu tuduhan melulu, penuh emosi dan dendam dari seorang penulis yang kecewa dan lara akibat penulisannya yang diharamkan oleh kerajaan.

Memetik ulasan Dr Ahmad Awang iaitu bekas Naib Presiden PAS yang menyebut bahawa Dr Kassim Ahmad pernah diberi peluang untuk berdebat 26 tahun lalu dan tidak ada apa yang perlu didebatkan lagi memandangkan beliau sangat degil untuk mempertahankan hujahnya walaupun dengan jelas ianya bertentangan dengan ajaran Islam.

AMK Selangor percaya masyarakat Islam Melayu terutamanya boleh mengabaikan kenyataan keras Dr Kassim Ahmad kerana ianya jelas beremosi dan penuh kecelaruan kerana pandangannya tidak diterima oleh umum sejak sekian lama.
Dr Kassim Ahmad seharusnya cermin diri dan menyalahkan diri sendiri kerana tidak berjaya meyakinkan pihak lain untuk menerima ideanya, dan mengambil jalan mudah untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kambing hitam.

Kemungkinan juga Dr Kassim Ahmad inginkan sesuatu sebagai imbuhan dari kerajaan sesuai dengan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 20 Jun lalu agar kajian semula pengharaman buku kontroversinya dan menjadikan platform ini untuk menentang Dato Seri Anwar Ibrahim. 

Seharusnya Dr Kassim Ahmad selaku ahli akademik dan seorang mantan Presiden sebuah parti politik mempunyai jiwa yang lebih besar dan menerima perbezaan pendapat serta menghormati mana-mana pandangan yang tidak menyebelahinya. Tetapi agak mengecewakan apabila beliau mengambil jalan pintas untuk menjadikan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai sasaran mudah kemarahan beliau.

AMK Selangor percaya Dr Kassim Ahmad perlu belajar menjadi lebih terbuka serta merendah diri dan boleh mengambil Dr Syed Husin Ali sebagai contoh terbaik. Terimalah kenyataan bahawa dunia masih menghormati dan mengagumi peribadi pemikiran dan sahsiah Dato Seri Anwar Ibrahim, tetapi Dr Kassim Ahmad menghabiskan hujung usianya untuk menjadi alat pihak-pihak berkepentingan dan akhirnya menemui segala usahanya akan berakhir sia-sia. 

AZMIZAM ZAMAN HURI
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone