SharpShooter Followers

Thursday, June 07, 2012

@NajibRazak dan Isa Samad pembohong - @rafiziramli

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad telah berbohong dengan menyatakan tidak ada seinci tanah peneroka terlibat dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Rafizi menunjukkan surat perjanjian yang perlu ditandatangan peneroka dalam proses penyenaraian FGV.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, prospektus penyenaraian FGV dengan jelas menunjukkan bahawa pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam syarikat tersebut hanyalah 5.5 peratus sedangkan sejumlah besar saham diperuntukkan kepada syarikat asing dan individu bukan Bumiputra.

Katanya, pembohongan itu dibuktikan pada lampiran perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani di antara Felda dan FGV bertarikh 1 November 2011.

“Pendedahan perjanjian ini mengesahkan dakwaan KEADILAN selama ini bahawa semua tanah tidak bergeran di dalam penempatan Felda seluruh negara telah pun dipajakkan ke sebuah syarikat yang dimiliki secara majoriti oleh pelabur swasta. Sedangkan tanah-tanah ini menjadi nadi aktiviti kemasyarakatan ekonomi warga Felda.

“Pendedahan ini juga jelas membuktikan (Datuk Seri) Najib dan Tan Sri Isa Samad berbohong apabila mereka menyatakan tanah-tanah yang melibatkan warga Felda tidak dipajakkan dalam proses penyenaraian FGV. BN telah memajakkan TRM yang dianggarkan seluas 105,382 ekar kepada FGV yang disenaraikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Rafizi menggesa Najib memberi jaminan kepada peneroka supaya tanah mereka tidak akan tergadai suatu hari nanti.

“Apakah jaminan Najib dan Isa bahawa tanah-tanah ini tidak dijual satu masa kelak, atau kegunaannya diubah dan tidak lagi mengutamakan kebajikan warga Felda? Apakah jaminan bahawa kedai-kedai runcit yang didirikan di atas tanah tidak bergeran ini suatu hari nanti tidak akan dirobohkan oleh FGV?

“Ini menimbulkan persoalan penting status tanah-tanah ini kerana ia kini dimiliki dan kuasai oleh syarikat yang tidak dikuasai Bumiputra, lalu bertentangan dengan undang-undang TRM yang mengekalkan hak milik di tangan Melayu,” ujarnya.

Sebelum ini, Najib dilapor menegaskan tanah hak milik peneroka tidak terlibat dalam penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Beliau berkata, hanya tanah-tanah kerajaan negeri yang akan terlibat dalam penyenaraian tersebut dan menolak dakwaan tanah peneroka akan tergadai.

Tambahnya, tanah-tanah kerajaan negeri yang terlibat adalah tanah yang diberi hak memajukan kepada Kerajaan Persekutuan seperti peruntukan dalam Akta Kawasan Tanah Berkelompok (GSA 1960) yang selama ini diurus oleh Felda Plantations.



Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/