SharpShooter Followers

Tuesday, February 22, 2011

"Sultan Sulu" keluar umno

KOTA KINABALU, 22 Feb — Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad, yang menjadi tumpuan kontroversi selepas dinamakan sebagai ‘Sultan Sulu’ baru-baru ini, hari ini mengumumkan keluar dari Umno dengan serta-merta.

Katanya, surat peletakan jawatan sudah dimaklumkan kepada ibu pejabat Umno dengan satu salinan dihantar ke pejabat parti peringkat Sabah.

Mohd Akjan berkata, keputusan itu akan menyelamatkan parti itu daripada bersusah payah membincangkan tentang keanggotaannya dalam Umno sejak lebih dua dekad lepas.

Dalam satu kenyataan, Mohd Akjan berkata laporan polis dan serangan dalam media susulan berita beliau dilantik menjadi Sultan Sulu ke-33 bermotifkan politik dan bertujuan memusnahkan nama baik beliau.

“Saya mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan individu dan organisasi ini,” katanya.

Mohd Akjan berkata apa yang telah dirujuk sebagai pertabalan sebenarnya merupakan majlis kesyukuran yang diadakan selepas beliau menerima jawatan itu yang ditawarkan kepadanya oleh kerajaan sementara Sulu yang mendapati beliau adalah keturunan langsung Sultan Sulu yang terakhir, Paduka Mahasari Maulana Al-Marhum Shariful Hashim 1.

Beliau berkata setelah tiga kali menolak untuk menjadi Sultan Sulu, beliau akhirnya bersetuju selepas mereka menerima beberapa syarat — satu daripadanya ialah mereka menggugurkan tuntutan terhadap Sabah.

Mohd Akjan berkata penerimaan itu dibuat secara bertulis dan ditandatangani pada majlis kesyukuran itu.

Mohd Akjan berkata beliau seorang warga Malaysia yang dilahirkan di Kudat dan sangat sayangkan negaranya.

Beliau, bagaimanapun, menegaskan bahawa beliau terpaksa melepaskan taraf sebagai warganegara Malaysia sebelum majlis ‘pertabalan sebenar’ diadakan. — Bernama


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/