SharpShooter Followers

Monday, February 21, 2011

30 peniaga ditipu Pegawai MPPP


JALAN PERAK – Dipercayai seorang Pegawai Kesihatan Awam (PKA) dari Bahagian Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di dapati menipu 30 peniaga di Pasar Jalan Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong berkata, perkara itu diketahui pihaknya setelah menerima aduan daripada peniaga berkenaan.

Menurutnya, pegawai berkenaan dipercayai menjalankan kerja penipuannya secara bersendirian dengan mengutip wang sewaan daripada peniaga-peniaga.

“Tugas PKA ialah setiap bulan dia akan berjumpa penyewa tapak penjaja sementara (TPS) dan pasar untuk menyerahkan bil hasil daripada bayaran sewa mereka setiap bulan, tetapi sebaliknya peniaga pula yang menyerahkan wang sewaan kepada PKA berkenaan dengan niat supaya PKA akan membayar untuk mereka di pejabat MPPP.

“Tetapi diam tidak diam secara tiba-tiba rupa-rupanya PKA itu tidak membuat sebarang bayaran kepada MPPP, dan dipercayai dia mula mengutip dari peniaga sejak November 2010 hingga Februari 2011,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Pasar Jalan Perak yang terletak di Jalan Perak itu disewa peniaga daripada MPPP dan mempunyai TPS dan juga pasar.

Bagi bayaran sewa bulanan untuk TPS ialah sebanyak RM15 setiap unit dan gerai pula terbahagi kepada beberapa jenis dengan bayaran daripada RM16, RM18 dan juga RM36.

Menurutnya, peniaga mula menyedari mereka ditipu apabila bayaran sewa untuk gerai mereka tertunggak.

Ada peniaga yang terus datang ke Bahagian Perlesenan dan membuat pemeriksaan serta terkejut apabila mendapati sememangnya mereka sudah ditipu apabila wang yang dibayar saban bulan kepada PKA tidak diberi kepada MPPP.

“Kita sudah mengenal pasti PKA ini dan sebelum ini dia menjadi pegawai di tempat lain dan sebab-sebab dia ditukarkan ke Pasar Jalan Perak kita masih tidak tahu, setiap satu kawasan hanya ada satu pegawai sahaja yang menyelia bahagian ini jadi mereka mudah dikenal pasti.

“Peniaga-peniaga juga telah membuat aduan di balai polis dan kami menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan,” katanya.

Sementara itu bagi pihak MPPP sendiri, sekiranya pegawai berkenaan didapati bersalah dia akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan juga disiplin.

Keputusan juga bergantung kepada pihak yang bertanggungjawab sama ada individu yang bersalah itu akan diberhentikan kerja ataupun digantung kerja sementara waktu.

Ah Teong juga menasihatkan kepada semua peniaga yang menyewa tapak penjaja ataupun gerai MPPP hanya membuat bayaran sewa di Bahagian Perlesenan tanpa menggunakan orang tengah walaupun pegawai MPPP sendiri.

Disebabkan kealpaan peniaga juga menyebabkan kes sebegini terjadi dan ia adalah pertama kali kes penipuan wang sewa itu berlaku.

“Saya tidak pasti berapa lama pihak polis akan siasat kes ini dan bergantung kepada mereka bagaimana bentuk siasatannya dan ingin saya tegaskan lagi kepada peniaga jangan menggunakan orang tengah.

“Kami juga sudah memberikan notis kepada semua PKA MPPP dan memberikan amaran kepada mereka jangan mengambil bayaran sewa daripada peniaga, kerana sewa hanya perlu dibayar di Bahagian Perlesenan MPPP Jalan Padang Kota Lama sahaja,” katanya.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/