Laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi di sini petang ini.
“Isi kandungan surat tersebut mengandungi fitnah yang tidak bertanggungjawab seperti tuduhan terhadap Perkasa dan Pekida sebagai alat Umno untuk menimbulkan huru-hara pada 27 Februari ini, yang mana Hindraf yang merupakan sebuah pertubuhan haram akan mengadakan perhimpunan perarakan haram.
“Perkasa tidak ada kena-mengena dengan Umno dan Perkasa adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang halal di sisi undang-undang dan tidak pernah menganjurkan perhimpunan jalanan ekstreme,” kata Ibrahim dalam laporan polis, yang salinannya diberikan kepada media hari ini.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Perkasa bukan pertubuhan ekstreme dan tuduhan Waytha Moorty adalah berunsur “jahat, biadap dan terkutuk.”
“Perbuatan seorang yang saya kira penjahat yang tidak layak menjadi warganegara Malaysia,” katanya.
Kata Ibrahim, Perkasa mahu polis mengambil tindakan undang-undang tanpa bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terlibat menganjurkan cadangan perhimpunan haram 27 Februari ini.
Malah kata Ibrahim, selaku Presiden Perkasa beliau akan menjawab segala tuduhan dibuat oleh Waytha Moorthy dan akan menghantar surat kepada kesemua 21 orang, yang dihantar surat oleh pemimpin Hindraf itu, bagi membersihkan nama baik kerajaan kerajaan, rakyat Malaysia dan Perkasa serta Pekida.