SharpShooter Followers


Thursday, March 08, 2012

CAT selar CAP

Kerajaan Negeri Pulau Pinang Yang Berdasarkan Prinsip CAT Bukan Sahaja Telah Memberi Pemakluman Umum Mengenai Projek-Projek Infrastruktur Tetapi Ketua Menteri Sendiri Telah Menghadiri Dua Sesi Perbincangan Dengan Wakil-Wakil NGO Dan Pihak Umum.

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan perasaan kesal atas laporan akhbar Utusan Malaysia pada 6 Mac 2012 yang bertajuk "Kesal DAP tidak salur maklumat kepada rakyat".

Dalam artikel tersebut, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang kedua-duanya diterajui oleh SM Mohamed Idris telah dilaporkan berasa kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana tidak menyediakan maklumat lengkap kepada orang ramai berhubung projek infrastruktur yang dilaksanakan di negeri ini.

SM Mohamed Idris dipetik berkata, "Baru-baru ini laporan akhbar menyatakan kerajaan negeri akan membuka permohonan cadangan membina terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam serta jalan sepanjang 12 kilometer yang menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang serta beberapa projek lagi."

SM Mohamed menambah isu ketelusan dan keterbukaan berhubung cadangan projek adalah keutamaan yang paling penting dalam peringkat awal perancangan dan membuat keputusan.

Katanya lagi, "Rakyat perlu diberikan maklumat lengkap dari awal mengenai potensi, manfaat dan kesan projek dan butiran pertukaran tanah supaya mereka boleh membuat keputusan bermaklumat mengenai keperluan projek mega tersebut."

Kami tidak mempertikaikan hakikat bahawa isu ketelusan dan keterbukaan merupakan keutamaan yang paling penting, malah sebagai kerajaan yang berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus), kami telah mengambil pelbagai langkah untuk memaklumkan pihak umum mengenai projek-projek infrastruktur yang dicadangkan.

Pada 28 April 2011, satu sidang akhbar telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya mengenai penandatanganan Memorandum of Understanding (MOU) di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan sebuah syarikat milikan kerajaan negara China.

MOU itu telah disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Najib Tun Razak serta Perdana Menteri China Wen Jia Bao.

MOU tersebut telah menyatakan minat syarikat kerajaan negara China ke atas empat projek infrastruktur Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas, iaitu terowong 6.5km dari Butterworth ke Gurney Drive, jalan pintas 4.2km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang akan mengelakkan pusat bandar, jalan 4.6km yang akan menghubungkan Bandar Baru Air Itam kepada Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan berpasangan 12km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.

Semua projek ini akan dijalankan secara tender terbuka. Kos dianggarkan di antara RM5-8 bilion untuk keempat-empat projek ini tetapi dijangka lebih rendah kerana ia dijalankan dengan tender terbuka.

Ini telah diikuti oleh sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 29 April 2011 untuk meminta pandangan rakyat ke atas empat projek infrastruktur tersebut. Ini telah disusuli oleh beberapa lagi sidang akhbar dari semasa ke semasa.

Dalam sidang DUN pada 10 Mei 2011, Ketua Menteri telah sekali lagi menjawab soalan-soalan mengenai projek-projek infrastruktur tersebut.

Kerajaan Negeri dan juga MPPP telah menerima beberapa pandangan dan cadangan sejak 29 April 2011. Tambahan pula, Ketua Menteri juga telah mengadakan sesi perjumpaan dan perbincangan bersama wakil-wakil NGO dan pihak umum termasuk dengan Penang Forum pada 16 Oktober 2011 dan juga pada 19 November 2011. Dalam kedua-dua forum tersebut, Mohamed Idris telah dijemput tetapi beliau tidak dapat hadir dan telah menghantarkan wakil CAP.

Oleh itu, adalah mengejutkan bagaimana CAP boleh menyatakan bahawa tidak ada rundingan dengan NGO atau rakyat apabila begitu banyak ruang diberikan untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan projek-projek infrastruktur tersebut.

Mengikut senarai kehadiran, kami boleh mengesahkan bahawa wakil CAP iaitu  Rudhrapathy Vijayala (Ravi) telah menghadiri kedua-dua sesi tersebut.

Selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah pun menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada pihak umum, termasuk dalam sesi perbincangan yang dihadiri wakil CAP.

Justeru, kenyataan Presiden CAP yang mempersoalkan dasar keterbukaan dan ketelusan Kerajaan Negeri adalah tidak tepat dan amat dikesali.

Kami juga ingin mengingatkan bahawa proses tender terbuka yang dilangsungkan melalui RFP (Request For Proposal) juga akan melalui kajian kebolehlaksanaan serta penilaian kesan kepada alam sekitar. Kedua-dua proses ini akan melibatkan penyertaan pihak umum dan akan menentukan keperluan projek-projek tersebut serta mengenal pasti alternatif-alternatif lain.

Adalah jelas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengamalkan dasar yang terbuka dan telus, bukan sahaja dengan penyampaian maklumat kepada pihak umum tetapi juga melalui dua sesi rundingan dan perbincangan dengan wakil-wakil NGO dan pihak umum yang dihadiri oleh Ketua Menteri sendiri.


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone