SharpShooter Followers

Friday, March 09, 2012

Penipu dan munafiknya pemimpin umno

Sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah sama sekali mengiktiraf kerajaan Israel dengan cara berutus surat atau berjumpa dengan pemimpin tertinggi negara itu.

Ia ditegaskan Ketua Pembangkang itu sewaktu berceramah di Markas Tarbiyyah PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas malam tadi.

“Sewaktu saya jadi Timbalan Perdana Menteri, tak pernah saya tulis surat kepada mana-mana pemimpin Israel, tak pernah saya jumpa mana-mana pimpinan Israel.

“Penipu dan munafiknya pemimpin Umno, mereka serang saya. Tetapi, saya tak pernah pun ada (jalin) hubungan dagangan dengan Israel,” tegas Anwar kepada kira-kira 2 ribu penyokong Pakatan Rakyat.

Ia katanya, berbeza dengan tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dalam diam mengutus surat mengiktiraf kerajaan haram Israel, tetapi pada masa yang sama terus memfitnah beliau.

“Presiden Umno ucap tahniah kepada pemimpin Israel ada keluar TV3? Puji Ehud Barak ada keluar TV3?” tanya Anwar.

Anwar bersama Ketua Dewan Ulama PAS P.Pinang, Ustaz Sooid Md Amin (tengah) dan Tim Pesuruhjaya PAS P.Pinang, Ustaz Khalid Man(kiri)

Pada 29 Februari lalu, kerajaan mendedahkan tiga surat rasmi dikirim oleh Mahathir kepada tiga Perdana Menteri rejim Zionis itu bertarikh 21 Disember 1993, 14 Mac 1997 dan 8 Jun 1999.

Salah satu surat berkenaan, yang ditulis kepada Yitzhak Rabin, antara lain menyatakan kesediaan kerajaan Umno BN untuk menjalinkan kerjasama dengan rejim itu pada masa yang sesuai.

Bercakap lanjut, Anwar berkata pengiktirafan secara senyap kerajaan Umno BN kepada rejim haram Israel diteruskan lagi oleh Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak yang takut untuk menyuarakan nasib rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.

Najib tidak bincang isu Palestin

Menurutnya, Najib berpeluang untuk mendesak Presiden Amerika Syarikat, Barak Obama berbuat sesuatu terhadap kemelut di Israel-Palestin sewaktu bertemu Obama tidak lama dahulu.

Namun, Najib hanya sekadar berani menyokong tekanan Amerika ke atas program nuklear Iran sewaktu bertemu Obama.

Menurut Anwar, ia berbeza sama sekali dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani membangkitkan perkara itu.

Anwar bertemu pimpinan Hamas, Khalid Mashal Febuari lalu bagi membincangkan isu Palestin-Israel

“Tayyip Erdogan jumpa Obama bincang isu Palestin dan ada nota. Datuk Seri Najib ada bincang isu Palestin?” tanya Anwar.

Membidas berita media arus perdana semalam yang menyiarkan berita surat beliau kepada National Endowment for Democracy (NED), Anwar menjelaskan NED adalah pertubuhan yang berfungsi untuk mempromosikan demokrasi.

Justeru katanya, isi kandungan surat itu bukanlah satu pengiktirafan kepada kerajaan Israel seperti yang cuba diputarbelitkan media arus perdana.

Bercakap lanjut, Anwar percaya kenyataan dan pendiriannya tentang isu Palestin-Israel sengaja terus dimanipulasi Umno BN untuk menggugah hubungan baik beliau dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Umno ni mimpi dia nak lagakan saya dengan Tuan Guru Nik Aziz. Kalau kami bergaduh, lega mereka”

“”Tuan Guru Nik Aziz minta penjelasan, saya tiada masalah. Pendirian Pas tegas dan konsisten. Ini Umno nak tegur saya, tengok muka sendiri dulu” kata Anwar.



Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/