SharpShooter Followers

Tuesday, March 06, 2012

Keadilan ulangi cabaran debat Najib-Anwar

KEADILAN mengulangi gesaan agar Datuk Seri Najib Razak menerima tawaran untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Jika Najib enggan, Saifuddin menyifatkan perdana menteri itu memandang rendah isu-isu yang membelenggu rakyat selama ini.

“KEADILAN sekali lagi menggesa agar Najib menerima tawaran debat ini sesuai dengan semangat demokrasi yang diluahkannya.

“Melainkanlah Najib tidak merasakan isu ekonomi, tawaran dasar Buku Jingga, tatakelola kerajaan yang baik, kenaikan kos hidup dan penyelewengan negara merupakan isu-isu penting untuk dibahaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, tawaran itu sudahpun dinyatakan kepada Najib sejak Januari tahun lalu bagi membahaskan soal ekonomi dan tawaran yang terkandung dalam Buku Jingga.

“Justeru, kita berharap kesanggupan Najib ini benar-benar jujur kerana tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat pada Januari 2011 untuk berdebat tentang kedudukan ekonomi, fakta-fakta yang terkandung di dalam Buku Jingga dan penyelewengan negara masih lagi terbuka.

“Malangnya, kami belum menerima sebarang jawapan daripada Perdana Menteri tentang tawaran tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Saifuddin turut mengulas kebimbangan Najib berhubung keupayaan Anwar untuk berdebat secara fakta dan mengawal emosi.

“Sebenarnya kebimbangan ini tidak patut wujud sekiranya beliau yakin dengan keupayaan rakyat Malaysia untuk membuat perhitungan yang tepat.

“Keputusan di tangan Najib sama ada beliau jujur mahu membolehkan rakyat Malaysia mendengar secara langsung dasar-dasar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat didebatkan dalam kerangka demokrasi dan membuat keputusan yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Anwar dalam catatan twitternya semalam menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai helah pimpinan Umno itu untuk mengelak dari berdebat.

Sebelum ini, bekas timbalan perdana menteri itu mengemukakan fakta dan angka dalam debat berhubung Harga Minyak dengan Datuk Ahmad Shabery Chik pada 2008, berbanding menteri berkenaan yang mengambil peluang menyerang peribadi Anwar.

Debat antara Anwar dan Najib sebelum ini turut disokong kalangan profesional Melayu, sepertimana yang didedahkan oleh satu kajian yang dijalankan Merdeka Center.

Terbaru, kajian itu mendapati 54 peratus responden bersetuju sekiranya debat tersebut diadakan.




Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/