SharpShooter Followers


Tuesday, March 27, 2012

NAJIB -TELUNJUK LURUS KELINGKING BERKAIT

Tuduhan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor menipu rakyat kerana gagal menunaikan janji pilihan raya dibuat tanpa kajian, penuh emosi dan berniat jahat.
 
Berdasarkan kajian kita lakukan, rakyat tidak terlalu menekankan pada janji berupa habuan wang ringgit tetapi lebih kepada tuntutan untuk sebuah pentadbiran yang telus, efisien,, bertanggungjawab dan melaksanakan amanah rakyat dengan jujur.
 
Perdana Menteri usah buat-buat lupa pada pilihan raya umum 2008, UMNO-Barisan Nasional juga banyak menabur janji kepada rakyat yang sehingga kini belum dilaksana malah belum ada tanda-tanda janji-janji ini akan dilaksanakan. Program Transformasi yang dijanjikan beliau kini jauh dari mencapai sasaran. Perbuatan Najib ini seumpama telunjuk lurus kelingking berkait-hipokrit dan penuh kepura-puraan.
 
Rakyat di Negara ini terutama negeri maju seperti Selangor memahami bukan semua janji berupa imbuhan seperti penurunan cukai pintu dapat dilaksanakan dengan serta merta. Rakyat faham semuanya bergantung kepada hasil negeri dan kutipan cukai. Namun apa yang dituntut rakyat tanpa kompromi ialah sebuah kerajaan negeri yang ditadbir dengan baik dengan pemimpin yang tidak merompak harta rakyat untuk kesenangan diri dan kroni.
 
Manakala sebuah kerajaan yang menipu rakyat ialah apabila pemimpin-pemimpinnya tidak jujur. Menyeru rakyat berjimat namun mereka sendiri bermewah dan berparti ratusan ringgit tanpa rasa belas terhadap rakyat yang terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan hidup.
 
Sebuah kerajaan yang menipu ialah apabila pemimpinnya salah guna wang rakyat seperti dana Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM250 juta. Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin mendapat komisen lebih RM500 juta hasil pembelian kapal selam scorpene. Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin memutuskan untuk melupuskan hutang kroni terhadap kerajaan, mengutamakan keuntungan kroni berbanding kebajikan rakyat dalam pemberian kontrak kepada Puncak Niaga. Menipu rakyat juga ialah apabila pemimpin berpura-pura menjaga harta Bumiputera tetapi secara senyap, sanggup menjual tanah kuota Bumiputera kepada bukan Bumiputera.
 
Rakyat Selangor ingin mengingatkan Najib, pemimpin-pemimpin beginilah yang sebenarnya menipu rakyat. Justeru, rakyat Selangor tidak lagi percaya dengan Najib dan pemimpin UMNO-BN sebab pada sepanjang pemerintahan mereka di Selangor, watak-watak pemimpin hipokrit sebegitulah yang berjaya dipamerkan oleh mereka.
 
FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK
KEPADA YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR.
 

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/