SharpShooter Followers

Tuesday, March 13, 2012

Jingga 13 desak Najib dedah sumber kewangan biayai majlis pertunangan anaknya



Jingga 13 hari ini menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan sumber kewangan membiayai majlis pertunangan anaknya, Nooryana Najwa jika ia tidak dibiayai Jabatan Perdana Menteri.
Ketua Koordinator Jingga, Fariz Musa berkata, sekiranya benar penafian yang dibuat Pejabat Perdana Menteri, Najib perlu memberi bukti pembayaran dibuat menggunakan wangnya sendiri.
“Dari mana Perdana Menteri mendapat wang yang cukup besar, semata-mata untuk majlis pertunangan anaknya? Sekiranya ia ditaja pihak persendirian, perlu juga dijelaskan siapa yang menaja,” kata Fariz.

Fariz membuat gesaan itu selepas bertemu pihak pengurusan Hotel Shangri-La Kuala Lumpur tengahari tadi bagi meminta pengesahan berkenaan pendedahan Banquet Event Order untuk majlis pertunangan anak Najib.
Dokumen itu seperti didedahkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sebelum ini, menunjukkan kos majlis pertunangan Najwa sebanyak RM409,767 dicaj kepada akaun Pejabat Perdana Menteri.
Fariz berkata, beliau yakin Hotel Shangri-La hotel sebagai hotel yang berprestij, mampu untuk berkata benar dan tidak dipengaruhi pihak yang berkepentingan, demi menjaga reputasi mereka.
“Sehingga hari ini, pihak pengurusan hotel masih belum memberi sebarang kenyataan berkenaan isu ini”, kata Fariz. Menemui Fariz mewakili pengurusan Hotel Shangri-La adalah Penolong Pengarah Bahagian F & B, Zulkifli Jaafar.
Zulkifli mengesahkan bahawa Hotel Shangri-La menguruskan majlis pertunangan anak Najib, tetapi beliau akan mengulas lanjut tentang pendedahan KEADILAN tidak lama lagi. Fariz turut memaklumkan bahawa Jingga 13 akan menyerahkan memorandum berkenaan hal ini dan dakwaan perbelanjaan Datin Seri Rosmah Mansor sejumlah RM300,000 di Sidney kepada Ketua Whip Pakatan Rakyat, Azmin Ali esok.
Berikut adalah surat yang diserahkan oleh Jingga13 bagi memohon pengesahan “BANQUET EVENT ORDER” dan penjelasan pembayaran majlis pertunangan anak Perdana Menteri Malaysia!
____________________________________________________________________

Ruj. Kami : J13/2012/01/1(04)
Tarikh : 13 Mac 2012

Tuan Pengurus Besar ,
Shangri-La Hotel Kuala Kumpur ,
11 Jalan Sultan Ismail ,
50250 Kuala Lumpur .

Tuan ,

MOHON PENGESAHAN “BANQUET EVENT ORDER” DAN PENJELASAN PEMBAYARAN MAJLIS PERTUNANGAN ANAK PEREMPUAN PERDANA MENTERI

Adalah dengan segala hormatnya , kami mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Shangri-La Hotel adalah merupakan sebuah hotel yang berprestij tinggi bertaraf 7 bintang dan antara hotel terkemuka di dunia yang sudah pasti mengutamakan kepada ketelusan dan profesional agar terus diyakini dan diiktiraf sebagai hotel yang cemerlang .

2. Sepertimana yang dimaklumkan, bahawa satu pendedahan oleh Sdr. Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat bertarikh 9 Mac 2012 adalah berdasarkan kepada “Banquet Event Order” yang telah dikeluarkan atas nama Shangri-La Hotel Kuala Lumpur, rujukan BEO#: 14,500 bertarikh 13 Jun 2011 berhubung majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri dan isteri yang berlangsung pada 17 Jun 2011 di Seri Perdana di mana pihak tuan sebagai caterer yang dilantik.

3. Untuk makluman tuan, berdasarkan dokumen tersebut sejumlah RM409,767 wang rakyat telah digunakan bagi tujuan majlis pertunangan anak Perdana Menteri dan isteri yang bersifat peribadi dan rakyat berhak mendapatkan maklumat yang benar dan tepat daripada pihak tuan.

3. Sehingga ke saat ini, rakyat masih tertunggu sebarang kenyataan dan penjelasan yang benar dan profesional tanpa prejudis daripada pihak tuan terhadap pendedahan tersebut, lebih-lebih lagi ianya adalah melibatkan hotel tuan.

4. Kami memohon agar pihak tuan mengesahkan bahawa “Bonquet Event Order” di atas nama hotel tuan sepertimana lampiran adalah benar dan segala bil dan pengurusan adalah dibiayai oleh Pejabat Perdana Menteri.

5. Pihak Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan ringkas menafikan bahawa kos majlis pertunangan tersebut adalah dibiayai sepenuhnya oleh Perdana Menteri dan keluarga beliau bukannya Pejabat Perdana Menteri melalui wang rakyat. Justeru itu sekira ianya adalah benar, kami memohon agar dapat dibuktikan oleh pihak tuan berdasarkan segala salinan bayaran kos tersebut secara terbuka dengan penuh kejujuran dan profesional .

6. Ketelusan, kejujuran dan sikap profesional tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak adalah sangat penting bagi membuktikan pihak tuan khususnya Shangri-La Hotel akan terus dianggap sebagai sebuah hotel yang benar-benar disegani dan dihormati.

7. Kami sedikit pun tidak menyalahkan pihak tuan kerana pihak tuan menjalankan tanggungjawab berdasarkan tempahan dan persetujuan bagi memastikan perjalanan majlis pertunangan tersebut berjalan dengan jayanya dan memenuhi segala keperluan dan kehendak penganjur.

8. Kerjasama dan komitmen pihak tuan sangat-sangat diharapkan dan menjadi harapan kepada rakyat Malaysia untuk mengetahui perkara yang sebenar.

Terima kasih.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

Saya yang menjalankan tugas ,

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator JINGGA 13


Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/