SharpShooter Followers

Wednesday, March 14, 2012

@Khairykj dikecam Kelab Media Johor



Kelab Media Johor mengecam kenyataan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam laman twitternya, yang seolah-olah tidak memahami tugas dan tanggungjawab pengamal media dalam melaporkan kisah kanak-kanak malang, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang ditemui, semalam.

Presidennya, Mohamad Fauzi Ishak berkata, sudah menjadi tanggungjawab pengamal media untuk melaporkan pelbagai jenis berita yang mempunyai nilai yang tersendiri sekali gus membimbing khalayak ramai dijadikan pengajaran pada masa hadapan.

Menurutnya, tujuan pengamal media melaporkan berita bukanlah sekadar untuk mengaibkan individu tertentu sebaliknya menyampaikan maklumat berguna demi kepentingan semua pihak seterusnya menyampaikan saluran maklumat yang berguna.

“Kenapa sekarang nak timbul isu bahawa kami (pengamal media) sibuk melaporkan berita Dirang telah ditemui? Bahkan sebelum ini, banyak lagi kes lain yang pernah kami turut laporkan. Kesemuanya dilaksanakan demi tuntutan kerja kami atas tunjang menggalas amanah yang diberikan.

“Banyak lagi kisah menyayat hati turut kami laporkan sebelumnya. Kesemuanya mempunyai nilai berita yang dikeluarkan dengan penulisan dan laporan yang beretika dan sebenarnya bertujuan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Secara tidak langsung, kami (pengamal media) menjadi medium membantu menyelesaikan siasatan polis. Kami turut menyebar maklumat kepada orang awam agar mereka lebih peka kepada isu dan perkembangan semasa. Bagaimanapun cuba fikir perkara ini dari sudut positif pula,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairy dalam laman twitternya mengeluarkan kenyataan “tak faham kenapa perlu ada media dan jurugambar yang merakam reaksi keluarga Nurul Nadirah bila diberitahu mayatnya dijumpa. Baru keluar berita” yang seolah-olah menidakkan tugas sebenar pengamal media.

Mohamad Fauzi turut meluahkan perasaan sedihnya ke atas nasib kanak-kanak malang yang tidak berdosa itu apabila dijumpai dalam keadaan yang menyayat hati setelah usaha mencarinya dilakukan 11 hari.

“Saya selaku wakil media Johor merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Dirang. Harap keluarnya dapat banyak-banyak bersabar dan saya percaya apa yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersendiri.

“Saya turut mengingatkan ibu bapa yang lain agar lebih memberi perhatian kepada anak-anak masing,” katanya yang memberitahu bahawa Kelab Media turut bakal menyalurkan bantuan berupa wang tunai kepada keluarga Dirang dalam masa terdekat ini sebagai meringankan beban mereka

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/