Mohd. Bakary Awang, 56, tiba-tiba rebah selepas memberi ucapan penangguhan mesyuarat yang dihadiri kira-kira 70 ahli UMNO cawangan itu.
Menurut Ketua UMNO cawangan itu, Roslan Ali, Bakary dilihat agak lemah selepas selesai membuat ucapan penangguhan persidangan yang dimulakan pada pukul 3.30 petang itu.
"Beberapa ahli lain cuba memberi bantuan dengan mengurut dada beliau namun Bakary menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat dibawa ke hospital.
"Saya difahamkan beliau memang ada menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis tapi tidaklah terlalu serius," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Aktiviti Kanak-kanak yang menjadi lokasi persidangan itu.
Tambahnya, Bakary memang seorang yang aktif dalam UMNO dan memegang jawatan bendahari sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu abang ipar Bakary, Abdul Shukor Zainul, 61, berkata, kematian adik iparnya itu amat mengejutkan beliau yang sedang membuat persiapan menghadiri ceramah agama di masjid berhampiran.
"Saya macam tak percaya apabila dihubungi oleh isteri arwah, Nurrizzan Zainul, 51, yang memaklumkan suaminya meninggal dunia ketika sedang bermesyuarat.
"Baru pagi tadi arwah hantar salah seorang daripada anaknya ke Kelantan untuk berkursus dan ketika itu, beliau dilihat sihat," ujarnya.
Jenazah Bakary dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung itu pagi esok.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/