SharpShooter Followers

Thursday, May 13, 2010

Kes liwat sepatutnya sudah gugur

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya menggugurkan pertuduhan terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertuduhan berniat jahat dan bersifat fitnah yang dihadapi beliau.

Shamsul berkata sepanjang perbicaraan soalbalas Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi, jelas terdapat percanggahan keterangan yang diberikan oleh saksi utama tersebut yang juga pengadu dalam kes itu.

"Pertuduhan ini sangat jelas di mana pengadu dalam kes ini tidak boleh mengelirukan mahkamah dengan membuat keterangan yang bercanggah.

"Ini kerana dalam laporan polis diketahui Saiful mengadu diliwat secara suka sama suka tetapi keterangan kemudiannya menjurus kepada dipaksa atau tanpa kerelaan. Jadi keterangan ini ternyata bercanggah," tegas beliau kepada Suara Keadilan.

Menurut Shamsul, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk menarik balik pertuduhan ke atas Anwar berdasarkan keterangan yang jelas bercanggah sekiranya beliau berpandu kepada prinsip undang-undang.

"Kuasa yang ada pada pihak Peguam Negara, pendakwaraya dan hakim tidak boleh digunakan sesuka hati. Pra syarat asas bagi perbicaraan yang adil ialah hakim yang adil, peguam dan pendakwaraya yang adil.

"Ini membuktikan kes ini adalah satu fitnah dan konspirasi peringkat tertinggi. Ini kita melihat pendekatan pendakwaan yang berbeza diambil dalam kes melibatkan Anwar.

Tambah beliau, keterangan Saiful bahawa beliau bertemu dengan pegawai penyiasat ACP Mohd Rodwan Yusof, berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bertemu Senator Ezam Mohd Nor serta menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengukuhkan bukti wujudnya konspirasi peringkat tertinggi dalam kes itu.

Ini kerana hampir kesemua mereka terlibat dalam pendakwaan dan konspirasi pertama terhadap Anwar pada 1999.

"Kesemua mereka ini mendapat habuan politik, dinaikkan pangkat termasuk Ezam dilantik sebagai Senator yang jelas membuktikan kes ini merupakan satu konspirasi tertinggi dalam politik negara bagi menamatkan karier politik Anwar.," kata Shamsul lagi.

"Kuasa yang ada kepada Peguam Negara bukan mutlak, ia adalah kuasa yang perlu dipandu undang-undang. Justeru kita mendesak Peguam Negara menarik balik pendakwaan berlandaskan undang-undang," kata Shamsul lagi.

Jelas beliau lagi, Anwar bukan sahaja dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil termasuk mendapatkan senarai saksi daripada pendakwaraya, malah dinafikan mendapat hak sewajarnya mengikut perundangan syariah apabila memfailkan pertuduhan qazaf terhadap Saiful.

"Sekiranya Datuk Seri Anwar dibenarkan untuk melalui proses di mahkamah syariah sudah pasti kes ini dibuang dan Anwar mendapat keadilan tetapi kes qazaf tersebut juga dinafikan terhadap beliau," kata beliau.

Shamsul menggesa rakyat dan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menzahirkan sikap mereka terhadap apa yang berlaku di mahkamah hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan peguam, Karpal Singh untuk mendapatkan kenyataan beramaran daripada Saiful yang diberikannya kepada pihak polis yang menjurus kepada aduan beliau diliwat secara paksa.

Pihak peguam bertegas bahawa Saiful dalam kenyataannya kepada polis menyatakan kejadian liwat yang didakwa itu berlaku tanpa kerelaannya manakala pihak pendakwaan pula menuduh Anwar mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seksual secara sukarela.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Mohd Zabidin memutuskan walaupun terdapat perbezaan antara keterangan Saiful dengan pertuduhan yang dihadapi Anwar, ia tidak boleh dijadikan asas bagi membolehkan kenyataan Saiful yang diberikan kepada polis, diserahkan kepada peguambela berdasarkan Seksyen 145 Akta Keterangan atau prosiding mencabar kesahihan di bawah Seksyen 155.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/