SharpShooter Followers

Wednesday, May 26, 2010

Letak muka UMNO dalam kasut Mic - Anak Samy

S. Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang cita-cita politik apabila membuat dakwaan bahawa Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC termasuk kini menyokong kempen puak anti-Presiden MIC.

Dipetik sebagai berkata demikian oleh portal berita The Malaysian Insider hari ini, Vell Paari yang dihubungi di Australian menambah, beliau masih berpegang kepada apa yang beliau cakapkan kelmarin.

“Apa yang saya perkatakan adalah isi hati orang bukan Melayu, dalam hal ini yang membabitkan ahli-ahli MIC dan masyarakat India... untuk itu, jika Tan Sri Muhyiddin mengatakan saya biadap, saya dilabelkan biadap, biarkan,” kata beliau.

Kenyataan Vell Paari itu telah dibidas oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang biadap.

Malah Timbalan Presiden Umno telah meminta Presiden MIC supaya menasihati anaknya itu dalam perkara ini.

Vell Paari turut mendakwa Umno telah menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk memecahbelahkan MIC.

Bagaimanapun Vell Paari ketika dihubungi pagi ini oleh portal berita berkenaan menegaskan yang beliau tiada masalah untuk memohon maaf kepada kepimpinan Umno jika apa yang diperkatakan itu sesuatu yang salah dan dibuat secara sembarangan dan tanpa alasan munasabah.

“Saya seorang yang berpendirian untuk mengatakan sesuatu itu betul jika betul, dan jika salah tetap salah... oleh itu jika ada kesilapan (yang telah dilakukan), saya akan mengaku ia sebagai satu kesilapan, dan akan memohon maaf," Vell Paari dipetik sebagai berkata.

Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif Maika Holdings menambah, “Mereka (Umno) hanya tersinggung dengan satu perkataan yang saya gunakan iaitu Umno menjadi punca kepada masalah dalaman MIC.”

“Saya minta mereka, tolonglah... mereka perlu meletakkan diri mereka dalam kasut MIC dan melihat isu yang berlaku dari perspektif MIC.”

“Tolong lihat pada keperitan yang masyarakat India lalui apabila kerajaan melaksanakan sesetengah dasar yang tidak adil... saya lihat pada perkara-perkara ini yang tidak memanfaatkan masyarakat India... jadi saya menyampaikan apa yang terpendam dalam hati mereka,” katanya.

Beliau menambah, melabelkan orang India sebagai pendatang dan pengemis dalam forum-forum tertentu telah menyinggung perasaan masyarakat India di Malaysia kerana mereka datang ke sini (Malaysia) bukannya sebagai pengemis.

“Jika perkara ini tidak diambil kira, jangan salahkan kami apabila mereka mengundi pihak lain (dalam pilihan raya),” kata beliau.

“Saya tidak berminat untuk apa-apa jawatan dalam politik,” katanya menjawab dakwaan bahawa beliau adalah pihak yang ada kepentingan dalam parti dan sebab itu membuat tuduhan sedemikian.


T. Mohan (duduk lima dari kanan) pada sidang akhbar mengenai GAS sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar Pemuda MIC di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu Ketua Pemuda MIC, T. Mohan hari ini menegaskan, parti itu tidak akan teragak-agak mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terlibat dalam penganjuran dan pembentukan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) pada Ahad ini.

Sambil menyifatkan tindakan penganjuran berkenaan tidak wajar memandangkan Datuk Seri S. Samy Vellu adalah Presiden MIC yang dipilih secara sah oleh perwakilan, beliau menggesa UMNO menjelaskan tujuan penyewaan sebuah dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari berkenaan.

Menurut Mohan, beliau curiga tempahan oleh UMNO itu dibuat bagi menganjurkan perhimpunan dan pelancaran GAS bagi mendesak pemimpin tersebut meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC lebih awal daripada perancangannya.

‘‘Apabila saya telefon PWTC pagi tadi, memang ada tempahan dewan dibuat oleh UMNO tanpa menyatakan siapa yang membuat tempahan serta untuk apa tempahan itu dilakukan.

‘‘Kami (Pemuda MIC) memang kecewa dengan perkembangan ini sekiranya ia dilakukan bagi menyokong sebuah pertubuhan haram, GAS,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan di sini hari ini.

Mohan mengulas kenyataan bekas timbalannya, V. Mugilan yang dilaporkan akan membawa 7,000 ahli GAS pada majlis perhimpunan dan pelancaran pertubuhan itu di PWTC Ahad ini.

Selain Mugilan, dua ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan KP Samy turut dipecat daripada parti itu semalam kerana turut mendesak Samy Vellu berundur.

Berikutan desakan-desakan berkenaan, anak Samy Vellu, S. Vell Paari yang juga ahli CWC MIC dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today semalam mendakwa UMNO kini melakukan ‘pembunuhan politik’ terhadap ayahnya dengan turut terlibat dalam penubuhan GAS.

Dalam perkembangan sama, Mohan turut meminta polis supaya tidak mengeluarkan permit bagi membenarkan perhimpunan dan pelancaran GAS.

Katanya, perhimpunan pertubuhan tidak berdaftar itu berupaya memberi implikasi keselamatan kepada orang awam di sekeliling kawasan tersebut.

‘‘Jika mereka kata ada 7,000 ahli serta bekas ahli parti mendesak Datuk Seri (Samy) meletakkan jawatan, saya akan bawa 14,000 ahli Pemuda MIC yang menyokong beliau (Samy Vellu) tetapi mampukah polis jamin soal keselamatan di sekeliling?

‘‘Lagipun polis pernah membatalkan perhimpunan Hindraf pada 2008 lalu yang memperjuangkan nasib komuniti India sedangkan GAS hanya bercakap mengenai seorang individu (Samy Vellu) jadi saya harap tidak ada double standard dalam hal ini,” katanya.

* Agak-agak apa kesudahan episod drama umno-mic ini?

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/