SharpShooter Followers

Thursday, July 29, 2010

Kenyataan Media tentang siasatan Kes Perlombongan Pasir di P.Pinang

Kenyataan Media

Siasatan Kes Perlombongan Pasir Diatas Lot 262,
Mukim 3, Daerah Seberang Perai Selatan

Latar Belakang

1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima aduan terhadap satu operasi perlombongan pasir di atas Lot 262, Mukim 3, Daerah Seberang Perai Selatan yang diuruskan oleh syarikat Foon Cent Sdn Bhd. Perkara ini telah dilaporkan dalam bebarapa akhbar tempatan dan soalan telah ditanya mengenai kehilangan pendapatan negeri melalui bayaran royalti dan juga samada operasi perlombongan pasir ini ada permit-permit yang sah.

2. Pada 14 Julai 2010 yang lalu, YAB Ketua Menteri Tuan Lim Guan Eng telah mengarahkan Jawatankuasa Siasatan Khas untuk menjalankan satu siasatan terhadap operasi perlombongan pasir ini. Jawatankuasa Siasatan Khas ini terdiri daripada YB Ong Chin Wen, ADUN Bukit Tengah dan juga YB Maktar Shapee, ADUN Sg Bakap, YB Law Choo Kiang, ADUN Bukit Tambun sebagai Pengerusi.

Perihal Tanah

1. Untuk makluman, Lot 262, Mukim 3, yang dimiliki Syarikat Foon Cent Sdn Bhd adalah tanah yang berstatus “Condition A”. Syarata nyata condition A ini adalah dibawah Jadual 3, National Land Code (Penang and Malacca Titles) Act 1963. Syarat nyata condition A bernyata bahawa

“The land comprised in this title shall not be affected by any provision of the National Land Code or any other written law prohibiting mining or the removal of specified materials beyond the boundaries of the land, except a provision prohibiting the prospecting for and extraction of mineral oil”

2. Ayat ini bermakna tuan tanah ada hak sepenuhnya untuk membuat perlombongan diatas tanah tersebut dan juga ada hak untuk mengeluarkan pasir dan aktiviti ini tidak boleh dilarang oleh Kanun Tanah Negara atau mana-mana undang-undang lain yang bertulis.

3. Situasi ini berasal daripada National Land Code (Penang and Malacca Titles) Act 1963 yang hanya memberi manfaat syarat nyata First Grade ataupun Condition A, B or C kepada hakmilik tanah di negeri Pulau Pinang dan Malacca sahaja.

Bayaran Royalti dan Permit 4C (Batu, Tanah dan Pasir)

1. Syarat nyata First Grade ataupun Condition A, B or C juga bermakna bahawa tuan tanah tidak perlu membayar royalti kepada Kerajaan Negeri atas keluaran bahan daripada tanah tersebut dan juga Kerajaan Negeri tidak ada hak untuk mengutip royalti daripadanya oleh kerana syarat nyata First Grade ataupun Condition A, B or C ini. Ini juga adalah kefahaman am kepada semua pengusaha kuari dan pentadbiran tanah.

2. Seperti yang telah dijelaskan di atas, ia bermakna persoalan berkaitan kerajaan negeri hilang pendapatan adalah tidak benar untuk kes ini.

3. Permit 4C biasanya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah untuk pemohon yang ingin mengeluarkan bahan bahan (batu-bata, tanah merah dan pasir) daripada tanah persendirian. Tetapi oleh kerana syarat nyata First Grade ataupun syarat nyata Condition A, B or C, dengan jelasnya menyatakan bahawa tanah ini tidak boleh dilarang oleh Kanun Tanah Negara atau Undang undang lain yang bertulis. Dan oleh kerana Permit 4C adalah satu permit dibawah Kanun Tanah Negara 1965, maka tanah berstatus First Grade ataupun Condition A, B or C tidak lagi memerlukan Permit 4C daripada Pejabat Tanah.

4. Arahan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Bil. 10/2009 bertarikh 27 Mei 2009 juga telah memutuskan bahawa Permit 4C tidak perlu untuk tanah yang berstatus First Grade ataupun Condition A, B or C kerana tuan-tuan tanah mempunyai hak sepenuhnya ke atas tanah berkenaan dan tidak terikat dengan mana-mana undang-undang lain.

Rumusan dan Tindakan:

A) Tidak perlu Permit 4C untuk tujuan perlombongan pasir. Tidak terkenal bayaran royalty kepada Kerajaan berdasarkan syarat nyata tanah Condition A.

Plan Kebenaran Merancang dan Plan Kerja Tanah

1. Kerajaan Tempatan melalui Majlis Perbandaran, dalam kes ini (MPSP) biasanya akan memantau operasi kuari melalui kelulusan Pelan Kerja Tanah dan juga Pelan Kebenaran Merancang.


2. Akan tetapi, untuk tanah berstatus First Grade, Condition A, B atau C, didapati tiada peruntukan-peruntukan undang-undang sedia ada yang jelas membolehkan pihak Kerajaan Tempatan untuk meminta permohonan Plan Merancang dan Plan Kerja Tanah sebelum aktiviti perlombongan bermula.

3. Walaubagaimanapun, tanah berstatus First Grade, Condition A, B atau C perlu mendapatkan Permit Plan Merancang dan Pelan Kerja Tanah untuk aktiviti pembangunan yang lain (skim perumahan, pembinaan bangunan etc).


Rumusan dan Tindakan:

A) Untuk tujuan mengawal aktiviti kuari-kuari di Negeri Pulau Pinang, Jawatankuasa Tanah telah memutuskan pada bulan Jun-2010, bahawa kuari-kuari yang telah beroperasi lama diberi kelonggaran dengan hanya menghantar Pelan Tanah untuk tujuan kawalan. Manakala kuari-kuari baru perlu Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Kerja Tanah sebelum operasi.

B) Pihak syarikat diminta supaya menghantar Pelan Kerja Tanah mengikut keputusan Jawatankuasa Tanah, jika ingin menyambung operasi aktiviti perlombongan pasir bagi tujuan kawalan pihak MPSP.

C) Pejabat Tanah Daerah perlu memaklumkan keputusan ini kepada kesemua pengusaha-pengusaha kuari semasa menerima permohonan atau pembaharuan permit 4C, supaya keputusan ini dipatuhi.


Warta Tanah Bukit ( Akta Pemuliharaan Tanah 1960)

1. Kawasan Mukim 3 Daerah Seberang Perai Selatan, di mana terletaknya tapak syarikat Foon Cent Sdn Bhd adalah kawasan yang telah diwartakan sebagai tanah bukit di bawah Akta Pemuliharaan Tanah 1960 ( Subject to Provisions of Land Conservation Act 1960).

2. Siasatan dapati Syarikat telah membuat pemohonan untuk mengeluarkan tanah tersebut daripada warta tanah bukit pada 04.04.2008, akan tetapi kertas Jawatankuasa Tanah Negeri tidak dibawa oleh PDTSPS kepada JKTN oleh kerana kertas ini dibincang antara Pegawai Daerah bersama Pengarah Tanah dan Galian pada 14.11.2008 dan diputuskan bahawa Permit 4C untuk Foon Cent Sdn Bhd tidak perlu jikalau tanah yang dibeli adalah daripada Kuari Utama Sdn Bhd yang telah diluluskan Permit 4C.

3. Dalam surat pihak syarikat yang bertarikh 21 Apr 2009, didapati juga pihak syarikat telah memaklum kepada Pejabat Tanah Daerah SPS bahawa mereka telah membuat permohonan mengeluarkan warta tanah bukit dan permit 4C pada 4 Apr 2008, tetapi tidak lagi mendapat jawapan dari PTDSPS.

4. Walau didapati kertas Jawatankuasa Tanah Negeri tidak disempurnahkan prosesnya, siasatan berpandangan pihak syarikat seharusnya faham mereka tidak boleh memulakan operasi sehinggan pengeluaran warta tanah bukit telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri.


Rumusan dan Tindakan:

A) Syarikat didapati tidak mematuhi peraturan pengeluaran warta tanah bukit sebelum melaksanakan operasi perlombongan pasir.

B) Syarikat perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri untuk mengeluarkan warta tanah bukit sebelum operasi perlombongan pasir boleh dimula semula.

C) Pejabat Tanah Daerah SPS juga perlu menjelaskan sebab mengapa kertas permohonan syarikat tidak melalui SOP (standard operating procedure) yang sempurna.


Penukaran Tajuk “Pembinaan Kolam Ikan” ke “Mengeluarkan Pasir”

1. Pihak syarikat mengakui bahawa pada permulaannya, mereka telah menubuhkan syarikat Kolam Ikan Zooi Chi (tarikh daftar 14-12-2007) bagi tujuan menternak ikan arowana dan ikan hiasan di lokasi tersebut.

2. Pada 27 Ogos 2008, pihak syarikat telah menghantar surat kepada Pejabat Tanah Daerah SPS untuk memaklumkan penangguhan cadangan projek kolam ikan atas nasihat JAS yang membuat lawatan bagi memberi ulasan permohonan syarikat.

3. Siasatan juga melalui tajuk-tajuk dokumen-dokumen Pejabat Tanah Daerah dan MPSP dapati bahawa tajuk permohonan awal adalah “Mengeluarkan pasir bagi membina kolam ikan”, akan tetapi dip roses permohonan kali kedua telah menukar ke “Permohonan permit 4C untuk tujuan mengeluarkan pasir seluas 3.887 ekar”.


Rumusan dan Tindakan:

A) Tajuk permohonan ditukar atas penukaran tujuan permohonan, tiada kesalahan dikesan.


Kesimpulan Siasatan

1. Perlombongan pasir oleh pihak syarikat didapati tidak mengikuti peraturan Akta Pemuliharaan Tanah 1960, kerana belum dapat kelulusan pihak berkuasa negeri.

2. Aktiviti perlombongan pasir perlu dihentikan serta merta.

3. Pihak Berkuasa diminta meneliti tindakan yang boleh diangkat.

4. Akta “ Penang Quarry Rules” perlu dipercepatkan supaya operasi kuari di Negeri Pulau Pinang dapat dikawal dengan lebih baik, dan tidak tertimbulnya kekeliruan dalam pelbagai proses pengawalan aktiviti kuari-kuari.

Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com