SharpShooter Followers


Thursday, July 15, 2010

Wakil Adun Langkawi letak jawatan...

ALOR SETAR - Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri, Wan Salleh Wan Isa meletak jawatan sebagai wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat bagi kawasan DUN Kuah, Langkawi berkuat kuasa kelmarin.

Peletakan jawatan itu dibuat kerana kecewa dengan kerenah segelintir pegawai agensi Kerajaan Negeri yang enggan memberi kerjasama berhubung permasalahan rakyat, peruntukan dan sebagainya.

“Sudah lama saya bersabar dengan kerenah birokrasi mereka. Saya harap tindakan saya ini akan membuka mata banyak pihak dan mohon Kerajaan Negeri tegas terhadap kerenah yang ditimbulkan pegawai-pegawai agensi Kerajaan Negeri yang dilihat seolah mahu mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat (PR),” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Setiausaha PKR Majlis Pimpinan Negeri, Mohd Hafiz Mohd Ali.

Wan Salleh yang juga Ketua Cabang PKR Langkawi berkata, beliau sudahpun menghantar surat rasmi peletakan jawatan itu kepada Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, selaku ADUN angkat kawasan berkenaan, termasuk salinan kepada Pengerusi PKR negeri, Ahmad Kassim.

“Surat itu diserahkan petang kelmarin kepada Datuk Phahrolrazi selepas mesyuarat jawatankuasa PR di Sri Mentaloon. Saya cuma harap Kerajaan Negeri berbuat sesuatu terhadap aduan ini yang dibangkitkan semula, sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, peletakan jawatan ini adalah jalan terbaik sebagai memprotes ketidakpuasan hati terhadap pentadiran kerana aduan sebelum ini tidak berkesan.

Wan Salleh berkata, sekiranya kerenah itu tidak ditangani segera, dibimbangi akan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat, seterusnya menjejaskan sokongan terhadap PR.

“Saya benar-benar kecewa kerana tidak mendapat kerjasama daripada pegawai Kerajaan Negeri sendiri sedangkan mereka sepatutnya membantu supaya kita dapat menyalurkan bantuan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak mahu dirinya dipersalahkan kelak sekiranya pelbagai permasalahan rakyat tidak dapat diselesaikan semata-mata kerana terpaksa berdepan dengan kerenah birokrasi yang tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimana pun, Wan Salleh hanya akan melepaskan jawatan berkenaan sahaja, manakala jawatannya dalam parti kekal.

“Saya akan terus pertahankan jawatan dalam parti selagi mendapat mandat daripada kepimpinan tertinggi PKR Negeri, termasuk jawatan nombor dua dalam PKR Negeri Kedah,” katanya.

Wan Salleh turut mengumumkan, pengganti beliau sebagai wakil ADUN angkat Kuah yang akan dilantik secara rasmi dalam masa terdekat.

“Ahli Jawatankuasa PKR Langkawi, Mohsin Talib akan dilantik menggantikan saya sehari dua lagi, setelah beliau memperoleh surat kuasa daripada Datuk Phahrolrazi,” katanya.

Ditanya sama ada sokongan penduduk Langkawi terhadap parti itu akan terjejas berikutan kemelut ini, Wan Salleh tidak menafikan kemungkinan berdepan dengan situasi itu dan disebabkan itu, masalah ini harus diatasi segera dengan campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

“Kita mempunyai keahlian mencecah 4,900 di Langkawi, bermakna sokongan semakin kukuh. Saya tidak mahu disebabkan masalah kecil, sokongan hilang. Sekitar 2007, PKR mempunyai keahlian sekitar 1,800 saja di Langkawi dan peningkatan ini boleh dibanggakan,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin dalam masa terdekat, keahlian PKR Langkawi akan bertambah sebanyak 1,000 ahli baru, sekiranya parti bijak menawan hati rakyat - Sinar Harian


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/