SharpShooter Followers


Thursday, July 22, 2010

DAP pecat ahli mengaku Ketua Pemuda DAP Sabah

KOTA KINABALU 21 Julai - Ahli DAP, Jeffrey Wong Su En yang mencetuskan polemik apabila mendakwa mendapat anugerah pingat tertinggi Knight Grand Cross (GBE) dari Ratu Elizabeth II, dipecat daripada parti itu berkuat kuasa semalam.

Surat pemecatan bertarikh 20 Julai itu ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai.

Bagaimanapun, pemecatan tersebut bukan atas alasan berkaitan isu anugerah GBE itu tetapi atas kesalahan mengaku sebagai Ketua Pemuda DAP Sabah.

Kok Wai berkata, Su En boleh mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa pusat berkenaan dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu, Su En ketika diminta mengulas keputusan itu mendakwa dia tidak pernah menerima surat tunjuk sebab daripada jawatankuasa pusat disiplin parti.

''Jika saya ada menerimanya sudah tentu saya akan menjawabnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam perbualan ringkas itu, Su En sekali lagi menegaskan bahawa GBE yang diterimanya itu dianugerahkan oleh kerajaan Papua New Guinea dan bukannya kerajaan British.

''Saya masih menunggu dokumen berkaitan untuk mengesahkan perkara itu," katanya.

Su En mencetuskan polemik di sini apabila mendakwa menerima anugerah GBE dari Ratu Elizabeth II sempena hari jadi Ratu berkenaan baru-baru ini.

Polemik tersebut menjadi hangat selepas akhbar-akhbar Cina tempatan di sini menyiarkan iklan mengandungi gambar Su En, seorang pengamal perubatan Cina dikalungkan pingat oleh Ratu Elizabeth.

Ekoran polemik tersebut, Pejabat Pesuruhjaya British di Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Jeffrey telah diberikan anugerah yang membawa gelaran 'Sir' itu.

Selepas diasak dengan pelbagai pertanyaan, Su En kemudiannya mengeluarkan kenyataan tiga perenggan menyatakan bahawa anugerah tersebut tidak ada kena mengena dengan kerajaan British, sebaliknya dianugerahkan oleh kerajaan Papua New Guinea sempena sambutan ulang tahun Ratu Elizabeth II ke-84.

Bagaimanapun kenyataan tersebut tidak menyatakan di mana majlis penganugerahan itu berlangsung, sekali gus menyebabkan ramai pihak mendakwa gambar tersebut adalah palsu.

Su En bagaimanapun berkata: ''Ini adalah masalah peribadi. Ia tidak ada kena-mengena dengan orang awam dan ia sekarang sudah dipolitikkan."



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/