SharpShooter Followers

Monday, July 26, 2010

Napoleon Kecil di Penang

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus bukan sahaja menunjukkan sikap dwi standard, tetapi juga menggalakkan pegawai perkhidmatan awam supaya tidak bekerjasama dengan pentadbiran kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua turut membidas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cuba mempertahankan pegawai kerajaan yang disifatkan beliau sebagai 'Napoleon kecil' dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.

"Malah, Tan Sri Muhyiddin menggelar Nik Ali seorang pegawai yang patut dicontohi dan melihat tiada kes keingkaran yang dilakukan. Sama juga, Ketua Setiausaha Negara yang telah berkata tiada tindakan akan diambil ke atas Nik Ali.

"Di atas komen memudaratkan oleh PM dan TPM, menunjukkan dengan jelas yang kerajaan Umno-Barisan Nasional sedang menggunakan 'Napoleon kecil' dalam perkhidmatan awam untuk merumitkan kerajaan Pakatan Rakyat demi kepentingan politik sendiri.

Isu itu bermula apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa Nik Ali berterus terang mengenai kos dan kerugian perobohan dua buah pintu gerbang di Taman Botani Pulau Pinang berharga RM150,000 yang dibina di bawah Kementerian Pelancongan.

Binaan itu dirobohkan berikutan kritikan orang ramai kerana binaan itu tidak mempunyai nilai seni dan kebudayaan negeri itu.

Guan Eng menyifatkan tindakan Nik Ali, yang merupakan pegawai yang bertanggungjawab menyelia projek itu cuba mensabotaj pentadbiran Pakatan Rakyat.

Beliau juga mendedahkan sepucuk surat yang dihantar SDO tersebut pada 13 Oktober kepada Jabatan Saliran dan Pengairan memberi kata dua terhadap peruntukan RM5 juta dari Kementerian Pelancongan.

Surat itu menyatakan kerajaan perlu menyelesaikan "isu-isu tertangguh" di Taman Botani" tersebut atau pembiayaan projek akan ditarik balik.

Nik Ali sebaliknya mengadakan sidang media dan menuduh kerajaan negeri membenarkan aktiviti mencuri pasir di Balik Pulau.

Menurut Tony, Najib mempertahankan kesalahan yang dilakukan Nik Ali yang telah membuat keputusan sendiri dengan mengadakan sidang media dianjurkan Umno serta menggelar Guan Eng sebagai biadap pada sidang media berkenaan.

"Pemimpin BN tidak dapat menerima keadaan di mana sebuah kerajaan berdasarkan kecekapan, kebertanggungjawaban dan telus akan melebihi prestasi BN. Sebaliknya telah memilih untuk menyemai 'Napoleon kecil' dalam perkhidmatan awam untuk sabotaj dasar-dasar pemerintahan yang beri manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Menurut Tony, Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak bersifat pilih kasih terhadap kakitangan perkhidmatan awam dan telah bekerja dengan ramai kakitangan kerajaan yang memberi prestasi cemerlang terhadap pentadbiran dan dasar kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tidak akan menerima kehadiran 'Napoleon kecil' seperti Nik Ali kerana peranannya hanya untuk menjaga kepentingan peribadi beliau dan Umno-BN.

"Kehadiran dan galakan diberikan kepada 'Napoleon kecil' akan hanya mengakibatkan unsur kebocoran, rasuah dan ketidakcekapan dalam mekanisme pentadbiran kerajaan, dan akan merumitkan kemasukan pelaburan asing dan tempatan kerana melihat tiada perubahan praktikal dilakukan Kerajaan meskipun dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB)," tegas Tony lagi.

Sharpshooter : Sepatutnya pegawai kerajaan kena pegang falsafah " di mana bumi dipijak...di situ langit dijunjung.."


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/