SharpShooter Followers


Saturday, July 24, 2010

MB Selangor serah bantuan kepada balu Hasmuzair.


SHAH ALAM 23 Julai - Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada balu bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Nazylinda Abdullah dan juga kepada keluarga Allahyarham Hasmuzair Hassan, yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kampung Subang pada 17 Julai yang lalu.

"Pemergian Allahyarham Hasmuzair akan dirasai oleh Nazylinda dan tiga anak mereka. Parti juga kehilangan seorang pejuang reformasi yang begitu komited terhadap tanggungjawab yang diamanahkan," kata Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sebuah majlis minum petang bersama Nazylinda Abdullah di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SAAS), semalam.

Terdahulu sebelum itu, selain bertanya khabar dan berkongsi kesedihan, Menteri Besar juga turut menyerahkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban Nazylinda dan sebagai tanda ingatan dari kerajaan Selangor atas pengorbanan dan jasa-jasa Allahyarham.

"Sumbangan ini tidaklah seberapa berbanding kesedihan yang dialami keluarga Allahyarham. Tetapi kita berharap ia mampu mengurangkan beban Nazylinda yang menjadi ketua keluarga selepas ini,” katanya.

Khalid menasihatkan Nazylinda tabah dan menerima kejadian ini dengan redha. Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya bersedia untuk membantu bagi memberikan harapan baru kepada keluarganya.

"Saya akan meminta pertolongan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk membantu Nazylinda untuk mendapatkan pekerjaan di negeri kelahirannya, di Kedah. Bahkan ketiga-tiga anak Nazylinda lahir dan didaftarkan di Kedah dan sudah tentu layak menerima bantuan dari Kerajaan Kedah," kata Khalid.

Turut hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/