SharpShooter Followers

Monday, July 05, 2010

SK tetap diterbitkan

PKR akan terus menerbitkan akhbar Suara Keadilan (SK) sehinggalah Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat kata putus status akhbar itu dengan jelas.

Pengarah Strategiknya, Tian Chua menyifatkan kenyataan terbaru dikeluarkan KDN bahawa permit penerbitan akhbar itu tidak digantung dan cuma tamat tempoh adalah satu lagi mempamerkan sikap 'flip flop' kerajaan.

"Mengenai kedudukan permit Suara Keadilan kita sebenarnya keliru, selepas KDN isytiharkan pengantungan permit tersebut, menteri pula menjelaskan permit itu belum digantung tetapi permit telah tamat tempoh, jadi ini yang telah mengelirukan kita dan juga Suara Keadilan," katanya ketika ditemui diparlimen hari ini.

"Kita tetap akan terbitkan Suara Keadilan sehingga mendapat jawapan jelas dari kerajaan," jelas Tian lagi.

Dalam pada itu PKR hari ini juga melalui Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali telah menghantar usul kepada Yang DiPertuan Dewan Rakyat bagi mencadangkan isu penggantungan permit SK dibahaskan di Dewan Rakyat.

Keputusan sama ada usul tersebut diterima atau ditolak bagaimanapun hanya akan diketahui esok.

Bagi beliau, dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2), Dewan Rakyat wajar membahaskan isu berkaitan insiden permit Suara Keadilan (SK), milik PKR yang digantung Kementerian Dalam Negeri (KDN), Khamis lalu tanpa alasan munasabah.

"Isu ini ekoran KDN sekat kebebasan media serta menyekat kebebasan parti-parti politik di negara ini," tegas beliau di lobi Parlimen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tindakan KDN itu sekaligus menghalang rakyat dari mengakses laporan berita alternatif berhubung kepentingan negara.

Tambahnya lagi, pendedahan 'Felda Bankrap' yang dibuat SK pada keluaran bertarikh 22-29 Jun lalu sepatutnya dilihat sebagai tanggungjawab parti-parti pembangkang dalam memelihara kepentingan negara.

"Ini tanggungjawab Pakatan Rakyat serta PKR sendiri untuk memperbetul kerajaan serta memperkenal dasar-dasar yang baru untuk kepentingan negara," ujarnya.

Bercakap pada sidang media yang sama, Naib Presiden PKR Sivarasa K. Rasiah mempersoal kaedah kerajaan menggantung permit lidah parti itu.

"Merujuk pada surat KDN 2 Julai kepada kami, alasannya lebih karut (kerana) mereka tuduh kita (SK) langgar syarat-syarat yang ditetapkan oleh kementerian," ujar beliau sambil merujuk suatu surat jawapan balas KDN kepada SK.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang berkata, syarat-syarat yang diperjelaskan oleh KDN pada SK nyata tidak masuk akal.

"Mana boleh pada suatu akhbar yang menjadi lidah rasmi parti, tapi tak boleh sentuh isu-isu semasa seperti yang KDN syaratkan.

"Akhbar kita (SK) turut dituduh mencemarkan kredibiliti kerajaan, Felda seperti (dalam surat) 2 Julai lalu, bayangkan sebuah parti pembangkang tidak boleh mengkritik kerajaan," tegas beliau.

Inisiatif kerajaan membunuh kebebasan media, menurut beliau sekaligus menafikan peranan pembangkang dalam sistem demokrasi berparlimen di tanah air.

"Tugas pembangkang bukannya memuji-muji kerajaan, buat apa jadi pembangkang dalam sistem demokrasi ini, baik jadi kerajaan Umnosaja," tegasnya.

Tuntas dari itu, beliau mendakwa, pergantungan SK itu lebih bermotif politik untuk menghalang masyarakat Melayu dari mengetahui kepincangan sebenar urus tadbir Felda kebelakangan ini.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/