SharpShooter Followers


Tuesday, July 27, 2010

Adun Ayer Keroh digantung

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong digantung sehari daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka esok kerana mengingkari arahan Speaker.

Speaker Datuk Wira Othman Muhamad berkata tindakan ke atas wakil rakyat DAP itu terpaksa diambil kerana Khoo telah melanggar peraturan 34 (1), (2) dan (3) tatatertib mesyuarat ketika membahaskan satu usul.

Dewan ketika itu sedang membahas usul yang dibawa oleh Lim Jak Wong (DAP-Bachang) berkaitan cadangan pembinaan pusat pengurusan pepejal di Sungai Udang.

Othman memberitahu pemberita kemudiannya bahawa beliau sebelum itu telah beberapa kali meminta supaya Khoo segera menghentikan perbahasannya, tetapi Khoo masih ingkar dan meneruskan perbahasan, maka tindakan penggantungan terpaksa diambil.

“Tindakan menggantung satu hari ini adalah minimum. Saya tidak boleh bersabar dengan tindakan ADUN ini kerana berdegil melanggari peraturan Dewan supaya beliau berhenti berbahas,” katanya.

Othman berkata sejak mula dilantik sebagai Speaker DUN Melaka pada April 2008, itulah pertama kali beliau mengambil keputusan menggantung kehadiran ADUN daripada menghadiri persidangan Dewan.

Beliau berkata beliau telah mengarahkan anggota polis supaya menahan Khoo sekiranya beliau tetap menghadiri persidangan Dewan esok.

Khoo yang juga Setiausaha Publisiti DAP Melaka pula berkata beliau akan tetap menghadiri persidangan Dewan kerana beliau mempunyai komitmen kepada para pengundinya.

Beliau berkata beliau terpaksa meneruskan perbahasannya walaupun telah diminta untuk berhenti, kerana beliau sebelum itu semasa berbahas telah diganggu oleh ADUN Sungai Rambai, Hasan Raman.

Dewan bersidang selama tiga hari mulai semalam.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/