SharpShooter Followers

Friday, August 28, 2009

Amk : Tangani dengan rasa hormat

Kenyataan Media
28 Ogos 2009

Pentadbiran Undang-undang Syariah: Tangani dengan rasa hormat.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia memandang berat polemik yang dicetuskan daripada keputusan Mahkamah Syariah Pahang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno.

Adalah amat malang apabila pemimpin-pemimpin Barisan Nasional mengambil kesempatan daripada isu ini untuk mempamerkan imej mereka sebagai kononnya mempertahankan hak wanita sedangkan pada masa yang sama menunjukkan kedangkalan dalam memahami pentadbiran undang-undang syariah dan tujuan sebenar hukum.

Meminum arak oleh orang Islam, khususnya di khalayak ramai, adalah satu kesalahan yang dipandang berat oleh Islam. Justeru ia tertakluk di bawah Hukum Hudud. Namun itu tidak bermakna sistem hukuman di dalam Islam adalah zalim atau bertujuan menganiaya. Semangat sebenar undang-undang di dalam Islam ialah untuk mencegah kesalahan.

Di dalam ayat 38, Surah al-Maaidah diterangkan bahawa hukuman bukan sekadar balasan terhadap perbuatan jenayah tetapi juga adalah “...suatu pencegahan daripada Allah”. Meski ayat ini merujuk secara khusus kepada kesalahan curi, ia memberi gambaran tujuan hukuman terhadap kesalahan di bawah Hudud.

Meskipun undang-undang Syariah Pahang tidak mematuhi dengan tepat kehendak Syariah pada aspek jumlah sebatan untuk kesalahan meminum arak, peruntukan sedia ada adalah menghampiri Syariah.

Di dalam kes ini, semua pihak perlu belajar erti hormat. Pertama, menghormati hak Kartika membuat pilihan untuk tidak mengemukakan rayuan. Kedua, menghormati tanggungjawab Mahkamah Syariah Kuantan untuk melaksanakan undang-undang.

Pada masa yang sama, Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa agar pentadbiran syariah di Malaysia diperkemaskan. Konflik seperti yang berlaku apabila hukuman terhadap Kartika diperintah dilaksanakan di Penjara Kajang, di mana hanya banduan boleh disebat sedangkan Kartika tidak dijatuhi hukuman penjara, boleh dan perlu dielakkan.

Usaha penambahbaikan berterusan perlu sentiasa dilakukan bagi memastikan pentadbiran syariah di Malaysia sentiasa kemas dan sebarang kelemahan yang wujud diperbaiki dan masalah diatasi.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia berpandangan kelemahan-kelemahan pentadbiran tidak seharusnya menjadi alasan untuk menolak pelaksanaan atau menjadi alasan untuk mengkritik tanpa asas undang-undang syariah. Lebih parah apabila ada yang mengambil kesempatan menghina dan memfitnah Islam itu sendiri.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/