SharpShooter Followers

Tuesday, August 04, 2009

PAS Selangor desak tukar Ronnie Liu - Isu ARAK

TEGAS...Pesuruhjaya PAS Selangor ketika menemui wartawan di pejabatnya di Shah Alam hari ini. PAS mendesak Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kerajaan tempatan, Ronnie Liu digantikan dengan orang lain ekoran isu ahli politik campur tangan dalam isu rampasan arak oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.

SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini mendesak kerajaan negeri menukar Exco Kerajaan Tempatan sekarang ekoran campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di negeri itu.

Jawatan Exco kanan itu kini disandang oleh Ronnie Liu dari DAP.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain.

Pendirian itu diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebentar tadi.

"PAS Selangor menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula atau ditukar berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

"PAS rasakan bahawa pemegang yang sekarang ini ada sedikit masalah, insiden terdahulu timbul sedikit permasalahan," katanya.

Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor berkata, beliau belum memaklumkan pendirian PAS itu kepada Menteri Besar dan Ronnie Liu sendiri.

"Perkara ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri esok... Exco PAS akan bawa isu ini," katanya.

Dalam pada itu menurut Hasan, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri supaya serius membanteras penjualan arak di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Katanya, kerajaan negeri perlu segera mengeluarkan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri supaya kontroversi berkaitan isu arak tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam.

Bagaimanapun menurut beliau, langkah sedemikian tidak membabitkan hak masyarakat bukan Islam di negeri ini.

"PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak diharamkan dijual atau diminum di kalangan masyarakat bukan Islam.

"Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya di sisi Islam dan bukan untuk mengganggu-gugat hak masyarakat bukan Islam.

Oleh itu jelasnya, PAS Selangor kesal apabila inisiatif untuk mengawal pengurusan penjualan dan aktiviti minum arak di kalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak tertentu.

Minggu lalu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka dekat sini.

Kata beliau, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham.

Perkara itu juga telah dikecam oleh Umno Selangor.

Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.

Bagi memastikan enakmen berhubung arak tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, PAS Selangor juga akan mengeluarkan satu deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Deraf berkenaan bukan satu undang-undang baru, sebaliknya hanya sebagai peraturan yang boleh digunakan oleh kesemua 12 PBT yang ada di Selangor.

"Sekarang ini hanya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang boleh ambil tindakan, jadi sekarang ini kita nak bagi kuasa itu kepada penguatkuasa PBT juga," katanya.

Saya menyokong penuh ketegasan PAS dalam bab ini. Tunggu bila 'Kalifah Umar Abdul Aziz di P.Pinang' nak bertindak tentang isu ARAK di P.Pinang. 'Amar Ma'ruf Nahi Mungkar' wajib diterjemahkan bukan hanya sekadar slogan.

Begitu juga saman tinggi terhadap pemandu mabuk, ia tidak akan selesaikan masalah. Dalam Islam diajarkan untuk mencari puncanya. Puncanya apa? Jawabnya mudah..Puncanya ARAK... Selagi arak dijual berleluasa selagi itulah masalah pemandu mabuk tidak boleh diselesaikan.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/