SharpShooter Followers

Monday, August 03, 2009

Penduduk Kg Buah Pala berpiket, Koperasi bagi peluang sehari lagi.


PULAU PINANG: Kira-kira 300 orang berhimpun menyokong penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang ekoran hari ini merupakan tarikh akhir mereka diminta berpindah dari situ. Antara mereka yang hadir ialah dari Hindraf, MIC, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan NGO Jerit

Kerja meroboh rumah penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini yang sepatutnya dilakukan hari ini, ditunda sehingga esok berikutan pemilik tanah kampung berkenaan, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KPKPP) memberi tempoh sehari lagi kepada penduduk untuk berpindah.

Pengerusi KPKPP, Abdul Razak Mansor berkata kawasan itu sepatutnya dirobohkan hari ini, bagaimanapun atas dasar simpati dan kemanusian, pihaknya memberi tempoh sehari lagi bagi penduduk kampung berkenaan memindahkan barang mereka.

Beliau berharap penduduk Kampung Buah Pala dapat memberi kerjasama untuk keluar dari kawasan berkenaan tanpa menimbulkan sebarang kekacauan.

Bagaimanapun, Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C.Tharmaraj menegaskan bahawa penduduk tidak akan berganjak dari kampung itu.

"Kami akan tetap berada di sini. Kami mahukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya menggunakan kuasa eksekutifnya untuk mengambil balik tanah kampung berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Lim di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Memorandum tersebut yang menggesa agar tanah berkenaan dikembalikan semula kepada penduduk, diserahkan kepada Setiausaha Politik Lim, Ng Wei Aik.

Kira-kira 200 orang termasuk penduduk kampung berkenaan turut berhimpun di perkarangan Komtar.

Thamaraj berkata penduduk Kampung Buah Pala juga mahu Lim menunaikan janjinya termasuk menyerahkan semula tanah itu kepada mereka.

"Sebelum ini pelbagai janji yang beliau taburkan kepada kita dan sekarang ini penduduk hanya mahu Lim tunaikannya secepat mungkin kerana kami tidak mahu kehilangan tanah yang kami duduk sejak 200 tahun lepas," katanya.

KPKPP juga bertegas untuk tidak mahu berkongsi tanah milik mereka dengan penduduk kampung berkenaan.

Abdul Razak berkata semua anggota KPKPP yang bermesyuarat semalam telah mencapai kata sepakat untuk tidak berkongsi tanah berkenaan seperti cadangan Lim.

"Kenapa kami perlu berkongsi tanah berkenaan dengan penduduk kampung sedangkan tanah itu memang milik kami dan mahkamah sendiri telah putuskan ia sah milik KPKPP," katanya.

Abdul Razak berkata cadangan yang dikemukan oleh Lim untuk koperasi berkongsi kawasan berkenaan dengan penduduk Kampung Buah Pala dibuat tanpa berbincang dengan mereka.

"Kerajaan negeri tidak pernah berbincang dengan kita tentang perkara ini dan tiba-tiba sahaja beliau (Lim) cadangkan kami berkongsi tanah berkenaan.

"Itu semua janji politik mereka dan mengapa koperasi perlu akur dengan cadangan berkenaan," katanya sambil menambah bahawa KPKPP tetap berkeras untuk merobohkan kampung berkenaan esok

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/