SharpShooter Followers

Saturday, September 25, 2010

Benarkah I'Da World Group mahu sumbang RM4B

Kerajaan Negeri belum berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat I’da World Group Sdn Bhd yang menimbulkan kontroversi kerana tindakannya mahu menyumbang RM 4 bilion kepada Kerajaan Negeri sekali gus dikatakan menjejaskan imej kerajaan Pas Kelantan.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika ditanya isu tersebut enggan mengulas lanjut dan berkata setakat ini, kenyataan-kenyataan dan tindakan yang diambil sebelum ini sudah memadai.

“Setakat ini itu sahaja (tidak dibawa ke mahkamah),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu semalam.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengakui ada usaha untuk menjatuhkan beliau, namun menafikan isu wang RM4 bilion sebagai usaha untuk menjatuhkan pentadbiran beliau.

Beliau mengganggap kemelut itu sebagai biasa dan beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan terhadap pihak terbabit.

Dalam masa yang sama sebuah akhbar melaporkan Pengerusi Eksekutif I'da World Group terkilan kenyataan Nik Abdul Aziz yang mendakwa tidak tahu kewujudan syarikatnya atau bertemu dengannya.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti bahawa Nik Abdul Aziz tahu mengenai kehadiran syarikat itu di Kelantan malah pernah mengadakan mesyuarat bersama beliau dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dalam pertemuan berasingan.

Dalam pada itu sebuah portal Internet semalam melaporkan Ahmad Yaakob mengakui pernah mengadakan pertemuan peribadi dengan wakil I’Da World Group Sdn. Bhd. di kediamannya di Tumpat, Kelantan baru-baru ini.

Sambil mengesahkan pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai perancangan syarikat berkenaan untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri itu membabitkan RM4 bilion, Ahmad bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau meragui keupayaan syarikat Bumiputera itu.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/