SharpShooter Followers

Tuesday, September 14, 2010

Syed Husin mungkin akan mempertahankan jawatan

Senator Dr Syed Husin Ali dijangka menjernihkan persoalan mengenai persaingan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi ini — dijangka kekal dengan pendirian tidak mempertahankan kedudukannya — keputusan yang dijangka menjadi penentu ‘kehangatan’ saingan kerusi nombor dua itu.

“Saya sudah membuat keputusan, jika tidak saya tidak akan memanggil sidang akhbar,” kata Syed Husin tetapi enggan menyatakan sama ada beliau sudah berkongsi keputusannya dengan pucuk kepimpinan.

“Soalan itu boleh ditanya esok (pada sidang media hari ini),” kata beliau.

Difahamkan pucuk kepimpinan parti sudah menerima pendirian beliau yang tidak mahu mempertahankan kedudukannya kali ini.

Sebelum ini Syed Husin pernah memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan berbincang dengan pucuk kepimpinan — Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing penasihat dan presiden parti sebelum mengumumkan keputusannya kepada umum.

“Jika pucuk kepimpinan terima, saya akan melepaskan jawatan ini,” kata Syed Husin dalam pertemuan awal tahun ini.

Syed Husin dijadual mengadakan sidang media di sebuah hotel, beberapa pintu dari ibu pejabat PKR.

Beberapa pihak berkongsi mesej Twitter sebab Syed Husin memanggil sidang media untuk mengumumkan pendiriannya.

Mesej-mesej itu menyebut, keputusan memanggil sidang media mencetuskan kemusykilan bahawa beliau akan mengumumkan akan bertanding semula untuk mengekalkan jawatannya.

Bagaimanapun ada yang berpandangan bahawa beliau mahu mengumumkan secara rasmi dan terbuka menerusi sidang media.

Malah selaku timbalan presiden, sekiranya beliau tidak mahu bertanding ada yang bertanya mengapa perlu mengadakannya sidang media di hotel berkenaan.

Beberapa pemimpin yang dihubungi berkata mengambil kira prinsip Syed Husin, beliau akan mematuhi peraturan parti iaitu keputusan terbaru pemilihan menegaskan apa-apa aktiviti kempen pemilihan tidak boleh diadakan di premis ibu pejabat parti.

Ada juga pemimpin mengatakan bahawa sekiranya Syed Husin mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya, kemungkinan beliau akan menzahirkan sokongan kepada calon bagi jawatan-jawatan tertentu.

“Mungkin sebab itu beliau mengadakan sidang media di premis lain sebab tidak wujud salah saham,” katanya lagi.

The Malaysian Insider juga difahamkan beberapa pihak akan bertemu dengan Anwar dan Syed Husin petang semalam mengenai pendirian mereka tentang pertandingan pada kali ini.

Justeru, ada yang berpendapat bahawa pengumuman Syed Husin hari ini akan menjadi penentu sama ada Naib Presiden Azmin Ali yang baru-baru ini menerima sokongan daripada 20 ahli Parlimen dan majoriti ADUN dari Selangor dan Negeri Sembilan akan bertanding ataupun sebaliknya.

“Azmin Ali mahu menghormati Syed Husin, beliau tidak mahu dilihat bercita tinggi mengejar jawatan,” kata seorang pemimpin lagi.

Kerusi itu kemungkinan disaingi tiga lagi calon termasuk ahli Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak turun gelanggang.

Selain Azmin dan Zaid, dua lagi pemimpin yang dijangka turun gelanggang ialah Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Dr Muhd Nur Manuty.

Kesemua 218 cabang PKR akan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing mula 17 September ini.

Semalam, kepimpinan PKR Kedah mahu kesemua cabang di negeri itu mencalonkan Anwar bertanding jawatan presiden pada pemilihan kali ini.

Bagi jawatan timbalan presiden PKR negeri itu akan membuat pengumuman dalam sehari dua ini khususnya selepas Syed Husin mengumumkan pendiriannya hari ini.

Minggu lalu Majlis Muafakat Kepemimpinan PKR Selangor mengesyorkan agar Anwar dan Wan Azizah bertanding jawatan timbalan presiden ataupun mengekalkan status quo semasa.

Sharpshooter :- Dalam dunia politik, segalanya mungkin..tetapi melihat kepada sinario perebutan jawatan no 2 antara Azmin Ali dan Zaid Ibrahim yang agak panas, kemungkinan besar Syed Husin akan mempertahankan jawatannya.

Calon no 2 yang lain seperti Mustaffa Kamil Ayub agak kurang kontroversi tetapi Azmin Ali dan Zaid Ibrahim dilihat terlalu ghairah.

Azmin Ali walaupun bijak tetapi dilihat kurang cerdik dalam tindakan bila menggunakan Ahli Parlimen dan Adun Selangor untuk menyatakan sokongan kepadanya. Akhirnya bila ada Ahli Parlimen dan Adun yang mempertikaikan kenyataan tersebut, siapa yang malu? siapa yang dilihat terdesak? siapa yang dilihat terlalu gopoh? siapa yang dilihat terlalu gelojoh?

Manakala Zaid Ibrahim pula dikatakan calon yang ditaja oleh taukeh koprat yang mempunyai hubungan bisness dan projek mega dengan Daim Zainudin di luar negara. Kemungkinan besar akan berlakunya politik wang.

Pertandingan ini akan menjadi terlalu panas dan tidak sihat bahkan akan merugikan Parti Keadilan. Jadi kemungkinan besar Syed Husin Ali akan mempertahankan jawatan sekaligus tidak akan ada perebutan kerusi panas no 2 itu. Tetapi entahlah..dalam dunia politik segalanya mungkin.

Ingatlah yang lebih penting tumbangkan umno dan b-end dalam PRU13, Parti Keadilan harus merasa malu bila duduk di tempat tercorot dalam kempen mendaftar pemilih baru SPR. DAP mendahului diikuti dengan UMNO dan PAS.

Ayuh ahli Parti Keadilan Rakyat, berjuanglah untuk rakyat bukan untuk koprat keparat.

Ingatlah " KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT ".

"UBAH SEBELUM PARAH..UBAH DEMI MARUAH "


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/