SharpShooter Followers

Wednesday, September 29, 2010

PAS sedia ambil alih UMNO P.Pinang

Oleh Ali Hashim

KEPALA BATAS, 29 Sept: Masyarakat Melayu di Pulau Pinang disarankan supaya memberi kepercayaan kepada PAS dalam pilihan raya umum akan datang bagi menguasai sebahagian besar kerusi yang masih dikuasai oleh Umno di negeri tersebut.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain (gambar) , PAS mempunyai kapasiti yang total bagi mengambil alih kedudukan Umno sebagai pembela kepada masyarakat Melayu dan Islam.

"Walaupun 11 kerusi yang dimenangi oleh Umno dalam PRU ke-12 yang lalu, ini tidak bererti kita tidak boleh merampas kembali kerusi yang dilihat berada pada tahap kemenangan 50-50.

"Keyakinan masyarakat bukan Islam kepada PAS kebelakangan ini membuktikan sokongan sedia ada dari masyarakat Melayu dan pertambahan kepada sokongan dari bukan Islam mampu untuk meraih kemenangan.

"Percambahan masalah dalaman Umno dan BN seperti apa yang berlaku kepada Gerakan Pulau Pinang dengan perbutan kerusi dalam parti tersebut membuktikan sengketa dalaman ini akan turut merebak kepada Umno dan kuncu-kuncunya seperti MCA dan juga MIC, "ujarnya lagi.

Katanya lagi, kekuatan yang ada pada PAS, PKR dan DAP di Pulau Pinang telah menggerunkan Umno dan BN sehingga mereka sedia mencipta isu bagi memberi imej yang buruk kepada kepimpinan Kerajaan Negeri.

"Ini termasuklah isu doa dalam khutbah Jumaat yang didakwa diganti dengan nama Lim Guan Eng, gambar 'super impose' Ketua Menteri menyembelih lembu korban, wang ihsan untuk warga emas didakwa sebagai sumber judi, wang Kelab Lumba Kuda sebagai sumber tidak halal bagi miskin tegar.

"Kita juga tidak hairan selepas ini kemungkinan ada lagi cerita baru yang mungkin akan dicipta bagi mencalarkan imej PR secaraa berterusan sehingga tibanya pilihan raya umum yang akan datang, " tegasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kepala Batas turut yakin peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang sejak 2008 yang lalu akan kekal dengan pertambahan kerusi di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti mempunyai potensi untuk menang besar dalam pilihan raya umum yang akan datang.




* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/